Banjir: 57 kampung terjejas di Beaufort dan Tenom

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 57 kampung di daerah Beaufort dan Tenom terjejas banjir pagi ini menyaksikan 55 mangsa daripada 13 keluarga di kedua-dua daerah itu dipindahkan.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, 46 kampung terjejas di Beaufort dengan 29 mangsa banjir daripada lapan keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan DP Mohd Dun Banir.

Di Tenom pula, sebanyak 11 kampung terjejas dengan 26 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar setakat 8 pagi tadi.

"Cuaca yang tidak menentu menyebabkan beberapa air sungai di beberapa daerah meningkat dan melimpah di kawasan-kawasan 'hotspot' mengakibatkan beberapa jalan dan kampung terjejas turut dinaiki air.

"Beberapa daerah lain turut terjejas dengan kenaikan paras air di beberapa kawasan namun tiada PPS dibuka setakat ini," demikian menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Pengursan Bencana Daerah Beaufort ketika dihubungi berkata, sebanyak enam sekolah terjejas banjir di daerah itu iaitu Sekolah Agama Negeri Limbawang, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Suasa, SK Bangkalalak, SK Jabang dan Sekolah Menengah St Paul.

Beliau berkata, sebanyak empat jalan di daerah itu terputus hubungan dan tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata, Jalan Simpang 4 Chan Furniture dan Jalan Kampung Kangsa.

Katanya, lima lagi jalan hanya boleh dilalui kenderaan berat iaitu Jalan Kampung Suasa, Jalan Kampung Bangkalalak, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Luagan Sanginan, dan Jalan Kampung Berumbai.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Daerah Tenom berkata, sebanyak dua sekolah terjejas banjir di daerah berkenaan iaitu SK Kalang Kanar dan SK Enubai.

Beliau berkata, sebanyak lima jalan terputus hubungan dan air banjir masih tidak surut iaitu Jalan Kalang Kanar, Jalan RTM Tenom, Jalan Bunut, Jalan Pansailon Tanjung dan Jalan Tumantalik.

Kedua-dua jurucakap itu juga memberitahu keadaan cuaca baik, namun air banjir masih bertahan dan tiada tanda surut setakat pagi ini. - Bernama