JAIS kesan terdapat pelanggaran SOP di masjid, surau

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesan terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di masjid serta surau sewaktu pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan oleh petugasnya.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, antara kesalahan itu termasuk bilangan jemaah melebihi had ditetapkan, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan sepanjang berada di masjid dan surau.

Selain itu menurutnya, JAIS juga menerima aduan terdapat sekumpulan umat Islam yang mendirikan solat Jumaat di premis yang tidak dibenarkan.

"Tindakan dan perbuatan ini adalah suatu kesalahan yang melanggar Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2018.

"JAIS mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun tindakan yang tegas akan dilakukan sekiranya perlanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, tindakan tegas yang dilakukan itu demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan umat Islam dan seluruh masyarakat di negeri Selangor

"Keputusan yang dibuat oleh JAIS ini terlebih dahulu mendapat nasihat dari semua pihak berwajib dan selepas diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafudiin Idris Shah," katanya.

Justeru katanya, umat Islam di Selangor diingatkan agar tidak membuat perbandingan langkah-langkah yang diambil oleh JAIS dengan negeri-negeri lain.

"Ini kerana situasi dan latar penularan di antara satu negeri dengan negeri lain adalah sangat berbeza. Ia juga tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"JAIS amat memahami keperluan serta keutamaan masjid dan surau untuk terus bergiat aktif sebagai pusat ibadah umat Islam setempat," katanya.

Namun menurutnya, dalam menggerakkan masjid sebagai fungsi kesatuan ummah, ahli jemaah diminta tidak mengambil sikap memberi tentangan dan menunjukkan tindakan tidak bijak apabila menentang penguatkuasaan SOP oleh pentadbir masjid dan surau.

"Ia termasuk membuat kenyataan tidak tepat terhadap beberapa perkara yang sudah mempunyai tempat hukum yang benar seperti mana ditetapkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sejak dari awal PKP pada Mac 2020 lagi.

"JAIS amat berharap semua umat Islam menghadapi semua keadaan dan ketetapan sekarang dengan bermuhasabah, merenung kembali peranan masing- masing sebagai jemaah masjid dan surau serta sebagai masyarakat dalam lingkungan yang pelbagai dan berbeza.

"Dalam masa yang sama terus berusaha dengan langkah-langkah yang bijaksana, berikhtiar, terus berdoa dan bertawakallah kepada ALLAH SWT," katanya.