Sewa murah dari DBKL, baru boleh bincang: Khalid

Khalid Samad ketika membuat lawatan di sekitar Jalan TAR, hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Pemberian semula hak penganjuran bazar Ramadan di tapak-tapak tradisi sekitar ibu kota hanya akan dibuat sekiranya persatuan penjaja dan peniaga bersedia memberi harga sewa tapak lebih murah berbanding ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beliau bersedia berbincang dengan persatuan-persatuan terlibat jika perkara itu dipersetujui.

“Kalau kita sewakan kepada penjaja dengan kadar yang tertentu... kalau kita serahkan kepada persatuan dan jika mereka boleh sewa dengan peniaga pada kadar lagi rendah kita boleh bincang.

“Tapi kalau kita serah kepada persatuan lepas tu dia sewa kepada peniaga dengan kadar lebih tinggi maka apa maknanya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menyifatkan urusan sewa bazar Ramadan oleh DBKL secara menyeluruh adalah lebih baik bagi mencapai matlamat penganjurannya.

“Bagi kami lebih baik kami yang uruskan sewa lepas tu persatuan kalau dia nak bantu dari segi pengurusan selepas itu sebagainya dari segi kebersihan itu kita boleh bincang.

“Tapi untuk serah kepada persatuan supaya dia pula sewa kepada peniaga dengan harga yang lebih tinggi saya rasa tidak mencapai matlamatnya kerana persatuan sepatutnya memudahkan bukan merumitkan,” katanya.

Mengulas mengenai sistem pendaftaran terbuka sewa tapak bazar Ramadan secara dalam talian yang didakwa akan menjejaskan peluang peniaga sedia ada khususnya di tapak-tapak tradisi, Khalid berkata, sistem berkenaan lebih adil untuk semua pihak.

"Sekiranya diuruskan persatuan, hanya orang-orang tertentu yang akan memperolehi tapak disebabkan kuasa persatuan.

“Orang lain pun tak dapat, mereka akan merungut. Apa yang kita nak buat, kita pilih daripada pemohon-pemohon dan tapis berdasarkan merit mana seperti ibu tunggal, OKU dan sebagainya," katanya.

Tambahnya, kesemua mereka juga adalah ahli persatuan.

"Ada juga yang bukan ahli persatuan... tapi kita nak pastikan orang yang betul-betul meniaga terus dapat (tapak) dengan kadar (sewa) lebih murah dan dia pun akan jual dengan harga lebih murah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan: Persatuan penjaja, peniaga mohon semula hak tapak tradisi

Terdahulu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah, meminta DBKL memberi semula ‘hak’ penganjuran bazar Ramadan kepada persatuan-persatuan penjaja dan peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan beberapa lokasi tapak tradisi sekitar ibu negara bagi membela hak peniaga-peniaga kecil yang telah beroperasi sejak sekian lama.

Kira-kira 2000 penjaja dikhuatiri terjejas dengan keputusan DBKL yang memperkenalkan kaedah pendaftaran terbuka secara atas talian untuk semua tapak bazar di Kuala Lumpur sekaligus menghentikan kebenaran penganjuran tapak oleh pihak persatuan penjaja dan peniaga di beberapa lokasi.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia