X

Kindly register in order to view this article
!

Didik mahasiswa hindari rasuah

A
A

SHAH ALAM - Pendedahan mengenai kartel rasuah membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan baru-baru ini jelas menunjukkan kelemahan indikator dan kelompongan dalam sistem urus tadbir.

Ketua Khidir Institute (Unit Kajian dan Informasi) Persatuan Belia Islam Nasional Malaysia, Nur Irdina Hakimah Norazali berkata, ia secara tidak langsung memberi kesan kepada agenda pembangunan negara yang sejahtera dan dikhuatiri membuka ruang norma dalam budaya rasuah.

Oleh itu katanya, pemimpin kerajaan dan pihak universiti perlu bekerjasama dalam mendidik golongan muda terutama mahasiswa agar tidak terjebak dengan jenayah rasuah.

“Kerjasama ini penting kerana generasi muda termasuk golongan mahasiswa merupakan aset intelektual dalam membina sebuah negara yang berdaya saing seiring dengan agenda pembangunan negara Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyifatkan gejala rasuah dalam kalangan mahasiswa di negara ini di tahap membimbangkan susulan kajian yang dilakukan entiti itu pada tahun 2016.

Nur Irdina berkata, berdasarkan kajian, persepsi mahasiswa yang seolah-olah membolehkan penerimaan rasuah turut berkait rapat dengan kekurangan kesedaran dan pengetahuan mengenai konsep integriti.

Katanya, ia berikutan sebuah kajian bertajuk ‘Integriti akademik dalam kalangan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)’ menyatakan kekurangan pengetahuan mengenai konsep dan nilai integriti boleh memberikan kesan kepada pekerjaan pada masa akan datang.

“Selain itu, kes seperti menipu, pemalsuan sijil dan plagiarisme juga boleh menyebabkan kes yang lebih besar seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakjujuran dalam tugasan.

“Ini dapat dibuktikan dengan kajian sosial yang dilakukan terhadap 40 negara mengesahkan hubung kait antara pelajar yang meniru atau menipu dalam peperiksaan dan mempunyai kecenderungan yang kuat dalam gejala rasuah apabila mereka bekerja,” jelasnya.

Nur Irdina berkata, sejak Januari lalu, SPRM telah mewujudkan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam usaha membanteras budaya rasuah.

“Ia memainkan peranan dalam menerajui usaha pembudayaan nilai-nilai murni, pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pelajar IPT,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!