Raya pertama kali semasa Covid-19

No Image Caption
A
A
A

TAHUN ini, sambutan Aidilfitri mungkin sedikit hambar kerana kita dalam pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi kerajaan turut mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengawal penularan virus.

Ramai yang tidak dapat pulang ke kampung. Aktiviti ziarah juga tidak dibenarkan. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya umat Islam masih dapat meraikannya dengan keluarga dan ibu bapa masing-masing jika tinggal serumah. Cuma mungkin sukar bagi mereka yang mempunyai keluarga besar, adik-beradik ramai dan tinggal di rumah masing-masing serta kemungkinan berlainan daerah mahupun negeri.

Aktiviti kunjung-mengunjung diganti dengan aktiviti berkumpul secara maya menggunakan komputer riba atau telefon bimbit. Tradisi memberi duit raya juga digantikan dengan kiriman wang atas talian atau melalui e-wallet. Mungkin rasanya agak lain tetapi sekurang-kurangnya duit raya dapat disampaikan walaupun tidak bersua muka apatah lagi bersalam-salaman.

Bagaimana pula dengan mualaf atau mereka yang baru sahaja memeluk Islam dan baru pertama kali berpuasa serta menyambut Aidilfitri sebagai orang Islam?

Menjalani ibadah puasa bagi mereka yang baru memeluk Islam tidak semudah orang Islam asal yang telah dilatih untuk berpuasa pada bulan Ramadan sejak kecil lagi.

Majoriti umat Islam sudah mula berpuasa seawal usia lima atau enam tahun bergantung kepada ibu bapa atau kanak-kanak itu sendiri. Ada yang mula berpuasa setengah hari dan dilanjutkan secara beransur-ansur sehingga waktu maghrib.

Walaupun tidak dilatih sejak kecil, kebanyakan mualaf yang saya jumpa pernah belajar berpuasa atau cuba-cuba berpuasa sebelum mereka mengucapkan dua kalimah syahadah. Maka, apabila sudah bersedia memeluk Islam, mereka juga sudah bersedia secara minda dan fizikal serta tidak menjadi masalah bagi mereka berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan.

Cuma mungkin agak kesunyian bagi yang baru memeluk Islam kerana tidak dapat beraya bersama sahabat handai akibat penguatkuasaan PKP 3.0. Dengan kehadiran terhad ke masjid bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, mereka juga tidak dapat merasai manisnya bersolat bagi meraikan kemenangan melawan nafsu sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

SOP hari raya tahun ini tidak membenarkan ziarah, tiada rumah terbuka dan tiada bersalam-salaman. Semuanya demi memutuskan rantaian Covid-19 yang sedang dibanteras habis-habisan sejak tahun lalu lagi. Bagi umat Islam yang tidak dapat pulang ke kampung, bersyukurlah kerana masih dapat berhari raya dengan keluarga terdekat masing-masing. Bagi golongan mualaf yang mungkin bersendirian memeluk Islam dalam keluarga masing-masing, mereka tiada sesiapa untuk sama-sama meraikan Syawal yang mulia ini.

Mungkin agak sukar bagi mereka untuk menyesuaikan diri dalam kea-daan norma baharu. Lalu, hari pertama Syawal mungkin seumpama cuti umum yang lain sahaja.

Semoga virus Covid-19 akan semakin hilang daripada muka bumi ini apabila lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya mendapat dua dos vaksin bagi mendapatkan imuniti berkelompok.

Semoga mereka yang baru memeluk Islam akan dapat merasai kemeriahan berhari raya pada tahun hadapan dan berikutnya apabila kita semua dapat kembali hidup secara normal.

Patuhilah SOP yang dianjurkan oleh kerajaan agar penularan virus Covid-19 ini dapat dihentikan.

SOP hari raya tahun ini tidak membenarkan ziarah, tiada rumah terbuka dan tiada bersalam-salaman.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia