Malaysian Tigers tidak akan terus tidur

Perlawanan persahabatan menentang Great Britain pada April lalu antara aksi kompetitif skuad Malaysian Tigers tahun ini.
Perlawanan persahabatan menentang Great Britain pada April lalu antara aksi kompetitif skuad Malaysian Tigers tahun ini.
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) akan memastikan pasukan hoki kebangsaan tidak terus terlena dengan menyediakan beberapa perancangan terutama untuk menghantar beraksi di luar negara pada ketika dunia masih dilanda Covid-19.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beberapa perancangan telah dibuat oleh KHM untuk memastikan pasukan negara dapat diberikan pendedahan selepas lama berehat daripada pentas antarabangsa.

“Beberapa perancangan pasukan kebangsaan telah diatur yang mana (Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak sedang bekerjasama dengan jurulatih untuk melihat aksi sesuai untuk diatur.

“Namun, kami berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengharapkan agar selepas hari raya semuanya akan kembali normal.

“Kami juga melihat beberapa kejohanan untuk pasukan kita keluar bermain di luar negara. Itu adalah beberapa perkara yang kita rancangkan untuk pasukan kebangsaan,” katanya baru-baru ini.

Skuad hoki kebangsaan ketandusan perlawanan kompetitif sejak dunia dilanda Covid-19 dengan banyak kejohanan besar terpaksa ditunda yang sekali gus menjejaskan prestasi pasukan kebangsaan.

Kekurangan aksi kompetitif itu juga meresahkan pengendali pasukan kebangsaan Arul Selvaraj yang tidak mendapat tempoh yang mencukupi membentuk skuad selepas mula membimbing pasukan pada Ogos tahun lalu.

Malaysian Tigers hanya mendapat perlawanan persahabatan menentang Jepun dan Great Britain pada 3 April lalu yang menjadi aksi terbaik negara selepas berehat panjang.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Subahan turut mengesahkan pasukan kebangsaan akan menyertai edisi sulung Hoki Dunia 5s (lima sebelah) yang akan diadakan di Lausanne, Switzerland pada 11 dan 12 September depan.

“Hoki 5s kebangsaan telah mendapat jemputan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk bermain dalam perlawanan jemputan. Kami telah menulis surat setuju.

“Kami akan mempersiapkan pasukan sedia ada untuk dihantar menyertai kejohanan itu nanti,” katanya.