Jiwa Harimau Malaya kena kental

No Image Caption
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengingatkan pemain untuk kekal fokus bagi mengharungi baki tiga perlawanan sempena aksi kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023, di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun depan.

Menurutnya pemain perlu memberikan fokus kepada ketiga-tiga baki perlawanan berkenaan dan tidak terlalu memikirkan mengenai tindakan Korea Utara menarik diri daripada aksi kelayakan berkenaan.

“Pada ketika ini, kita perlu terus fokus kepada perlawanan kita dan membiarkan pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Sekiranya, mereka (Korea Utara) benar-benar menarik diri ia pasti akan memberikan kesan terutamanya dari segi mental pemain. Bagaimanapun bagi saya fokus kita sekarang hanyalah untuk mengharungi baki perlawanan kita semata-mata,” katanya pada Ahad.

AFC sebelum itu mengesahkan penarikan diri Korea Utara dari baki kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, memaklumkan perkara tersebut akan dirujuk kepada jawatankuasa penganjur kejohanan FIFA.

Biarpun begitu bagi kes Korea Utara tersebut kebiasaannya semua keputusan aksi menentang pasukan tercorot semua kumpulan tidak akan kira, dan sekiranya berlaku dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia berkemungkinan berdepan situasi sama berdasarkan kedudukan semasa kumpulan G.

Dalam pada itu, seramai 25 pemain Harimau Malaya melapor diri bagi mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi persiapan menghadapi baki perlawanan pusingan kedua kelayakan tersebut.

Skuad negara dijadualkan berlepas ke Dubai pada 20 Mei bagi aksi persahabatan berdepan Kuwait pada 23 Mei sebelum terbang ke Manama pada 25 Mei untuk satu lagi aksi persahabatan berdepan Bahrain pada 28 Mei.

Artikel Berkaitan:

Skuad negara kemudian dijadualkan kembali ke Dubai pada 31 Mei bagi melakukan persiapan terakhir bagi mengharungi baki tiga perlawanan kelayakan dimulai dengan aksi berdepan tuan rumah, UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mengakui kehadiran pemain bertubuh sasa seperti Liridon Krasniqi, Junior Eldstal dan Guilherme De Paula kali ini bakal memberikan kelebihan khususnya aspek fizikal berdepan lawan.

“Dari segi fizikal kita dah tambah kekuatan dengan kehadiran Liridon, Junior Eldstal dan De Paula; tetapi dalam bola sepak bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga melibatkan dari segi teknikal dan juga skil.

“Apa pun, kehadiran mereka diharapkan dapat membantu kita memberikan saingan kerana kita tahu UAE telah melakukan persiapan yang serius termasuk menukar jurulatihnya beberapa kali sebelum ini.

“Namun, itu bukan alasan dan kami akan fokus pada setiap perlawanan, terutamanya kepada baki tiga perlawanan kita di UAE nanti,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, kesemua pemain yang melapor diri untuk kem latihan skuad kebangsaan dalam keadaan cergas dan bebas daripada sebarang kecederaan.

Katanya, dia juga berharap agar empat pemain Harimau Malaya yang beraksi di luar negara seperti Liridon Krasniqi (Newcastle Jets), Junior Eldstal (Chonburi FC), Dominic Tan (Police Tero) dan Luqman Hakim Samsudin (KV Kortrijk) turut berada dalam keadaan sama.

“Setakat semua pemain dalam keadaan yang baik dan bebas daripada kecederaan, tetapi dalam masa beberapa pemain turut berada dalam senarai simpanan kita.

“Pemain-pemain ini kesemuanya telah divaksin dan bersedia dipanggil pada bila-bila masa sahaja,” katanya.