Chelsea kurang bernasib baik di Wembley

Tuchel (kanan) berkata sesuatu kepada pemain Chelsea semasa aksi final Piala FA menentang Leicester City di Wembley.
Tuchel (kanan) berkata sesuatu kepada pemain Chelsea semasa aksi final Piala FA menentang Leicester City di Wembley.
A
A
A

PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan The Blues kurang bernasib baik apabila tewas tipis 0-1 kepada Leicester City dalam aksi final Piala FA di Stadium Wembley.

Malah menurut Tuchel, pemain-pemain Chelsea telah memberikan aksi terbaik sepanjang perlawanan dalam mengekang asakan jentera The Foxes kendalian Brendan Rodgers tersebut.

“Ya, saya juga akui kecewa dengan keputusan ini, namun tidak dengan komitmen dalam kalangan pemain Chelsea sepanjang perlawanan. Saya percaya pemain-pemain memberikan aksi pada tahap terbaik masing-masing.

“Hari ini saya percaya tuah tidak menyebelahi Chelsea setelah memberikan segala-galanya dan saya akui pada tahap ini sememangnya memenangi kejuaraan adalah motivasi terbaik untuk kami.

“Kami melepaskan gol kepada lawan yang boleh disifatkan sebagai gol bernasib baik pada perlawanan ini. Mason Mount juga memiliki pelung, namun seperti saya katakan sebelum ini Chelsea tidak bernasib baik,” katanya yang mula mengendalikan kelab itu daripada Frank Lampard sejak Januari lalu.

Bagaimanapun bekas pengendali Borussia Dortmund dan Paris Saint Germain (PSG) itu juga mengakui terkilan dalam beberapa situasi pemain The Blues gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol.

“Saya rasa kita bertahan dan menyerap tekanan lawan serta tidak membenarkan serangan balas daripada salah satu kelab yang memiliki serangan balas terbaik di Eropah.

“Cumanya saya kurang gembira apabila pemain-pemain gagal menterjemahkan peluang dalam bentuk jaringan walaupun menguasai perlawanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anak buah Tuchel bakal berdepan Manchester City pada final Liga Juara-Juara di Porto hujung bulan ini.