X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Usaha papar keganasan Israel penting, wajar diteruskan

Wan Ahmad Fayhsal
A
A

SHAH ALAM - Usaha mendokumenkan dan memaparkan keganasan tentera Israel kepada seluruh dunia adalah penting dan wajar diteruskan meskipun berdepan tapisan media sosial yang giat memadamkan hantaran-hantaran berkaitan kekejaman terhadap Palestin.

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tindakan sesetengah rakyat Malaysia yang giat menterjemah berita-berita terkini dari Palestin seharusnya dipuji.

Beliau berkata, perbuatan itu adalah sebahagian usaha bersama khalayak ‘crowd sourcing’ oleh pelbagai pihak di seluruh dunia untuk mematahkan pembohongan rejim Zionis yang menjual naratif menyeleweng kepada masyarakat global.

“Keganasan ke atas rakyat Palestin yang amat kejam ini tidak lain dan tidak bukan jenayah kemanusiaan dan wajib dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.

“Armada juga menyeru semua pihak agar menegakkan naratif benar bahawa pihak yang memulakan kekejaman dan penjajahan ini ialah Israel; dan episod terbaru ini dimulakan oleh rakyatnya yang merampas rumah rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur di bawah perlindungan pasukan bersenjata Israel.

“Mereka juga telah menyerang rakyat Palestin terlebih dahulu termasuk serangan ke atas sebuah tunjuk perasaan di Gerbang Damsyik pada 30 April dan keganasan ke atas masyarakat Kristian yang sedang menyambut Hari Paskah di Gereja Kebangkitan (Church of the Holy Sepulchre) pada 1 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, Armada turut menggerakkan kempen derma kilat dengan menyasarkan dana sebanyak RM100,000 dalam tempoh 24 jam melalui jentera-jentera Armada di 191 bahagian seluruh Malaysia untuk mengumpulkan infaq daripada ahli-ahli parti.

Menurutnya, dana berkenaan disalurkan ke akaun khas kendalian Wisma Putra seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang menjalankan bantuan kemanusiaan di Palestin.

“Di samping itu, anak-anak muda di Malaysia dan seluruh dunia juga diseru agar terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk segala usaha diplomasi, misi kemanusiaan dan advokasi umum ke arah menghentikan jenayah perang ini dengan segera dan mencari penyelesaian jangka panjang di Tanah Suci ini,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!