X

Kindly register in order to view this article
!

Rodgers tabik semangat Leicester

Pemain pertahanan Leicester, Wes Morgan dan kapten Leicester, Kasper Schmeichel (kanan) menjulang trofi Piala FA ketika meraikan jaringan bersama pemain The Foxes di Wembley.
A
A

PENGENDALI Leicester City, Brendan Rodgers mengakui bangga dengan pencapaian The Foxes selepas menewaskan kelab pilihan Chelsea 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley pada Ahad.

Malah menurut Rodgers, kejayaan membawa pulang trofi kejuaraan ke Stadium King Power juga meningkatkan motivasi pemain kelab yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam mengharungi baki aksi liga tersebut.

“Kemenangan ini satu sejarah buat kelab ini apatah lagi kami sedang dalam pemburuan slot automatik ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Memenangi Piala FA buat kali pertama sememangnya sesuatu yang cukup istimewa dalam lima percubaan di pentas akhir sebelum ini.

“Kemenangan ke atas finalis Liga Juara-Juara, Chelsea adalah hadiah buat pemain, penyokong dan Khun Top (nama gelaran pemilik kelab, Aiyawatt Srivaddhanaprabha) serta keluarganya,” kata pengendali berusia 48 tahun tersebut.

Pada perlawanan itu, jaringan Youri Tielemans pada minit ke-63 babak kedua disaksikan 22,000 penyokong sudah cukup membolehkan The Foxes mendakap trofi pertama musim ini.

Menurut Rodgers lagi, prestasi dalam kalangan pemain The Foxes ketika mengharungi norma baharu pada musim ini diterjemahkan menerusi jaringan Tielemans.

“Jaringan Youri bukan sahaja amat menakjubkan, sebaliknya juga bukti bahawa semangat juang dalam kalangan barisan pemain tidak pernah berputus asa hingga ke minit akhir perlawanan.

“Ya, Leicester City memang berhak menang dalam perlawanan ini kerana setiap trofi sangat istimewa. Saya amat bangga menjadi sebahagian keluarga besar kelab hebat ini,” kata Rodgers.

Untuk rekod, The Foxes sebelum ini tewas empat perlawanan akhir kejuaraan tersebut dalam tempoh 52 tahun lalu.

Anak buah Rodgers selepas ini akan kembali fokus baki saingan EPL apabila sekali lagi berdepan Chelsea di Stamford Bridge pada Rabu sebelum melabuh tirai melayan kunjungan Tottenham Hotspur, Ahad.

Kelab tangga ketiga liga tersebut kini mengumpul 66 mata, dua mata mengatasi Chelsea yang menduduki tangga keempat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!