Pemangku Raja Pahang titah masjid, surau adakan solat hajat

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
A
A
A

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat memohon Allah S.W.T melindungi serta memberi kesejahteraan kepada rakyat Palestin.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman menerusi kenyataan di sini pada Ahad berkata, baginda menitahkan supaya solat sunat dan doa selamat itu diadakan esok, selepas selesai solat Maghrib.

"Baginda juga menyeru pelaksanaan solat hajat dan doa selamat diadakan di kediaman masing-masing bagi rakyat yang tidak berkesempatan ke masjid atau surau ekoran had jemaah yang terhad dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama juga diseru untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin. Baginda juga menzahirkan harapan supaya isu pencerobohan dan peperangan ini dapat dihentikan segera," katanya.

Ahmad Khirrizal berkata, Tengku Hassanal turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan rejim Zionis Israel yang melakukan pencerobohan dan menyerang Masjid Al-Aqsa serta Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan dan mencederakan ratusan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak. - Bernama

Artikel Berkaitan: