Sempadan Rafah dibuka lebih awal

Kira-kira 16 ambulans telah dihantar ke Gaza untuk memindahkan penduduk Palestin yang cedera ke hospital di Kaherah sejak Sabtu. - Foto Agensi
Kira-kira 16 ambulans telah dihantar ke Gaza untuk memindahkan penduduk Palestin yang cedera ke hospital di Kaherah sejak Sabtu. - Foto Agensi
A
A
A

KAHERAH - Mesir pada Ahad membuka sempadan Rafah yang menghubungkan Semenanjung Gaza sehari lebih awal daripada yang dijadualkan bagi membenarkan kemasukan pelajar, golongan yang memerlukan rawatan perubatan dan kes kemanusiaan lain.

Keputusan itu dibuat selepas kempen pengeboman di Genting Gaza semakin meningkat dan telah meragut sekurang-kurangnya 181 nyawa termasuk 52 kanak-kanak.

Setakat ini, kira-kira 16 ambulans ke Gaza untuk memindahkan penduduk Palestin yang cedera parah ke hospital di Kaherah.

Selain itu, sebuah bas membawa 95 penduduk Palestin dari Gaza juga telah tiba di negara tersebut.

Pada Jumaat lalu, pihak berkuasa kesihatan awam Mesir memaklumkan cuti perayaan sebahagian petugas perubatan terpaksa dibekukan sebagai persediaan untuk menghadapi penduduk Palestin yang cedera dari Genting Gaza.

Sementara itu, Menteri Luar, Sameh Shoukry mengulangi gesaan supaya segera melaksanakan gencatan senjata selepas beliau menghubungi rakan sejawatannya di Arab Saudi.

“Kedua-dua pemimpin terbabit saling bertukar pendapat untuk mencari jalan penyelesaian bagi meredakan ketegangan tersebut,” ujar Kementerian Luar pada Sabtu.

Pada minggu lalu, Imam Besar Masjid dan Universiti al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayed turut melancarkan kempen di media sosial sebagai tanda sokongan terhadap penduduk Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Hentikan pembunuhan kejam orang tidak berdosa dan amalan ‘double standard’ jika kita benar-benarkan mahukan kedamaian,” tegasnya.

Dalam satu kenyataan lain, Ketua Gereja Ortodoks Koptik, Pope Tawadros II yang mewakili kumpulan minoriti terbesar di Asia Barat turut menyelar serangan ganas di Baitulmaqdis dan Genting Gaza yang mengorbankan penduduk Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak. - AFP