Tiada kilauan pingat hari terakhir di Hong Kong

Fadhill kurang menyengat pada perlumbaaan hari ini selepas tampil cemerlang pada Sabtu.
Fadhill kurang menyengat pada perlumbaaan hari ini selepas tampil cemerlang pada Sabtu.
A
A
A

TIADA kilauan pingat dari pelumba negara pada hari terakhir Kejohanan Berbasikal Piala Negara-Negara UCI di Velodrom Hong Kong pada Ahad.

Harapan pelumba trek negara Muhammad Fadhil Mohd Zonis untuk menambah pingat ketiga tidak kesampaian apabila tewas kepada pelumba Jepun Yuta Wakitomoto dalam saingan suku akhir acara pecut.

Pelumba Yayasan Sime Darby berusia 24 tahun itu ketinggalan 0.019 saat (s) berbanding lawannya Yuta, pemenang perak Kejohanan Dunia 2020 dan juara Asia sebanyak empat kali, yang merekodkan catatan masa 10.276s pada perlumbaan pertama.

Pada perlumbaan kedua, Muhammad Fadhli ketinggalan 0.202s apabila Yuta memperbaiki catatan masa 10.264s untuk menempah slot separuh akhir, menurut laman rasmi UCI, https://www.uci.org.

Bagaimanapun, Muhammad Fadhil mengharumkan nama negara pada kejohanan itu selepas merangkul dua pingat iaitu pingat emas acara keirin, semalam dan pingat perak acara 1km ujian masa individu, kelmarin.

Terdahulu, pelumba negara Muhammad Ridwan Sahrom gagal layak ke suku akhir acara pecut selepas tewas kepada Jepun Yudai Nitta pada perlumbaan kedua manakala Amar Danial Masri tewas kepada pelumba tuan rumah Law Tsz-chun pada perlumbaan pertama.

Yudai mencatatkan masa 10.291s dan 10.289s masing-masing pada perlumbaa pertama dan kedua untuk merangkul pingat emas manakala Yuta meraih pingat perak dan rakan sepasukan Tomohiro Fukaya membawa pulang pingat gangsa.

Sementara itu, pelumba wanita negara Anis Amira Rosidi, yang merangkul gangsa acara 500m ujian masa semalam, gagal layak ke final acara keirin selepas menghuni tempat keempat pada saringan pertama. - Bernama

Artikel Berkaitan: