Berkorban demi mengajar di pedalaman

Guru dan murid SK Peta bergambar bersama ketika kunjungan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Aliman.
Guru dan murid SK Peta bergambar bersama ketika kunjungan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Aliman.
A
A
A

MERSING - Meredah perjalanan sejauh 48 kilometer (km) melalui Taman Negara Endau Rompin dan tanah merah di kawasan ladang antara cabaran yang perlu dilalui 10 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Peta di sini.

Berdepan pelbagai cabaran untuk ke sekolah termasuk pokok tumbang, banjir, tanah runtuh dan ancaman gajah turut menguji keberanian guru demi amanah mendidik 44 murid masyarakat Orang Asli di Kampung Peta.

Guru Besar SK Peta, Norianto Ahmad Sukani berkata, perjalanan lebih dua jam ke sekolah di Kampung Peta berhampiran Taman Negara Endau-Rompin itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda bukannya mudah.

Katanya, demi tugas dan tanggungjawab, semua kepayahan itu diharungi meskipun pernah bermalam di dalam ladang kelapa sawit selepas laluan dilalui untuk ke SK Peta dinaiki air banjir tiga tahun lalu.

"Pada tanggal 1 Jun 2017 saya bertugas sebagai Guru Besar SK Peta. Sebelum itu saya mengajar di SK Sri Mersing.

"Saya sudah maklum tentang SK Peta yang merupakan kawasan pedalaman yang paling jauh di Johor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau yang merupakan anak jati Mersing tidak pernah merasa terbeban dan menyusahkan sepanjang berkhidmat di sekolah terbabit, memandangkan guru-guru sangat membantu selain masyarakat Orang Asli yang gemar menolong.

Artikel Berkaitan:

Laluan ladang kelapa sawit menuju SK Peta yang dinaiki air akibat hujan.
Laluan ladang kelapa sawit menuju SK Peta yang dinaiki air akibat hujan.

Katanya, guru-guru yang mengajar di SK Peta terdiri daripada lapan guru lelaki dan dua guru wanita masing-masing berasal dari Sabah, Kelantan, Perlis, Perak dan ada juga dari Johor.

"Kebiasaannya kami guru-guru akan gerak bersama untuk ke sekolah dengan menaiki pacuan empat roda. Bekalan makanan untuk tempoh seminggu akan dibawa selain keperluan mengajar seperti kertas dan alat tulis.

"Kami guru-guru akan tinggal di rumah guru berhampiran sekolah dan akan keluar ke Mersing pada hujung minggu untuk membeli makanan dan beberapa keperluan mengajar," katanya.

Jelasnya, generator diesel digunakan di sekolah untuk membekalkan bekalan elektrik.

"Saya dan guru-guru yang lain akan hidupkan generator terbabit pada awal pagi dan apabila murid pulang, generator berkenaan akan dimatikan.

"Kalau ada kerosakan yang tidak teruk pada generator, kami akan baiki sendiri, tetapi jika kerosakan agak teruk ia perlu dibawa ke Mersing untuk dibaiki," katanya.

Menurut Norianto, warga sekolah SK Peta diuji dengan kejadian banjir besar pada Januari tahun ini yang menyebabkan kerosakan teruk pada sekolah.

"Banjir tersebut antara yang teruk pernah berlaku selepas banjir pada tahun 2006.

"Guru-guru dan murid melakukan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah selepas banjir surut," katanya.

Pokok tumbang di laluan menuju ke SK Peta antara cabaran dihadapi guru untuk ke sekolah.
Pokok tumbang di laluan menuju ke SK Peta antara cabaran dihadapi guru untuk ke sekolah.

Ditanya mengenai proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), Norianto berkata ketiadaan liputan internet di kawasan Kampung Peta, tidak menghalang guru-guru untuk mengajar dengan menyediakan kertas kerja latihan murid.

"Guru-guru akan ke rumah murid- murid untuk menyerahkan kertas kerja latihan yang telah disiapkan terlebih dahulu oleh guru-guru.

"Kerjasama diberikan keluarga murid sangat membantu usaha guru untuk terus memberikan bimbingan," katanya.

Norianto berkata, kejayaan murid memperoleh keputusan lulus 100 peratus pada peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2017 merupakan kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.

"Sempena Hari Guru pada 16 Mei, saya ucapkan setinggi penghargaan kepada guru-guru SK Peta yang sanggup meninggalkan kesenangan di luar demi melaksanakan amanah mendidik di Kampung Peta yang cukup mencabar," katanya.