Biden tak peduli nasib Palestin, terus sokong Israel

Biden (kanan) masih menzahirkan sokongan ke atas Netanyahu walaupun komuniti antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis. - Foto Agensi
Biden (kanan) masih menzahirkan sokongan ke atas Netanyahu walaupun komuniti antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden seakan-akan sengaja mengundang kecaman apabila beliau mengulangi sokongan ke atas sekutu kuatnya, Israel ketika masyarakat antarabangsa mengutuk kekejaman rejim Zionis terhadap Palestin.

Ketika menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Sabtu, beliau tanpa rasa bersalah menyatakan 'keprihatinan' terhadap situasi di Tel Aviv walaupun angka kematian di wilayah itu adalah jauh lebih rendah berbanding 174 yang terkorban di Genting Gaza sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Biden dengan selamba meminta Hamas berhenti melancarkan roket sebagai tindak balas terhadap kempen serangan rejim Zionis ketika bercakap dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui panggilan telefon.

Pemimpin tersebut juga menzahirkan sokongan kuat beliau terhadap hak Israel untuk mempertahankan diri.

"Beliau menyelar serangan yang dilancarkan ke atas bandar di seluruh Tel Aviv," ujar Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Biden yang enggan mengulas lanjut tentang ketegangan yang semakin memuncak antara Israel-Palestin hanya menyokong usaha penyelesaian dua negara terhadap konflik berterusan tersebut.

Sementara itu, Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengecam pentadbiran Biden kerana menyokong kempen pengeboman orang awam tidak berdosa di Gaza.

Susulan itu, pertubuhan terkenal di AS tersebut bersama kumpulan lain nekad memboikot acara sambutan Aidilfitri di Rumah Putih kerana kecewa dengan respons yang diberikan pemimpin terbabit terhadap kekejaman terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Biden mempunyai kuasa moral dan politik untuk menghentikan ketidakadilan ini, namun beliau tidak menggunakannya. Kami menggesa beliau berpihak pada korban kekejaman itu dan bukannya pihak yang salah," tegas Pengarah Eksekutif Kebangsaan CAIR, Nihad Awad.

Awad turut memberi amaran pendekatan berat sebelah Rumah Putih terhadap kekejaman Israel di Palestin boleh menjejaskan hubungan antara pentadbiran Biden dan Muslim Amerika.

Difahamkan, sambutan Aidilfitri yang dirancang pentadbiran Rumah Putih itu kononnya bertujuan untuk mempromosikan keamanan antara Israel dan Palestin. - Agensi