CAC: Selangor bantu sediakan sukarelawan, kemudahan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan JKNS memaklumkan gambar tular memaparkan orang ramai beratur panjang panjang memasuki CAC Stadium Malawati sebenarnya kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan pesakit Covid-19
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan JKNS memaklumkan gambar tular memaparkan orang ramai beratur panjang panjang memasuki CAC Stadium Malawati sebenarnya kedatangan harian untuk penilaian dan pelepasan pesakit Covid-19
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Selangor akan berusaha membantu menangani masalah kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berada di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di Stadium Malawati di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan Twitter pada Ahad berkata, pihaknya akan berusaha membantu dari segi penyediaan sukarelawan dan pelbagai kemudahan yang diperlukan bagi tujuan itu.

Beliau berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri akan memasang khemah di luar CAC untuk kemudahan pesakit dan petugas pusat berkenaan.

Katanya, beliau juga telah memanggil mesyuarat bersama JKNS untuk membincangkan koordinasi dan ruang penambahbaikan yang boleh dilaksana bersama.

“Saya difahamkan JKNS kini mengalami masalah kekurangan petugas,” katanya.

Amirudin berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan JKNS bagi menambah jumlah CAC di daerah Petaling disebabkan jumlah kes yang tinggi ketika ini, namun ia harus mengambil kira beberapa faktor utama seperti jumlah kakitangan dan sukarelawan perubatan serta lokasi yang sesuai.

Beliau seterusnya menyeru agar warga Selangor positif Covid-19 yang ingin hadir ke CAC agar mengunjungi pusat penilaian itu di daerah masing-masing bagi mengelak kesesakan di CAC terutama di Stadium Melawati.

Menurutnya, pada masa yang sama beberapa pesakit Covid-19 dari luar Selangor turut dikesan hadir ke CAC Stadium Melawati yang menyebabkan berlaku kesesakan dan tempoh masa menunggu yang panjang.

Artikel Berkaitan:

“Saya menggesa semua untuk patuh arahan tidak merentas negeri dan pergi ke CAC yang berdekatan bagi memudahkan urusan,” katanya.

Antara CAC yang disediakan ialah di Klinik Kesihatan (KK) Telok Panglima Garang, KK Telok Datok, KK Bukit Changgang dan KK Jenjarom, di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat; CAC Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang; dan CAC KK Bestari Jaya di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor.

Selain itu CAC disediakan di KK Sungai Besar, CAC KK Sungai Lima, CAC KK Sekinchan, CAC KK Sabak Bernam, CAC KK Parit Baru, CAC KK Sungai Air Tawar, CAC KK Bagan Terap, CAC KK Merbau Berdarah di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam; dan CAC Dewan Komuniti Taman Kajang Utama di bawah seliaan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat. - Bernama