Ahli Parlimen Pembangkang gesa ada sidang khas kutuk Israel

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu segera menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi membawa usul dan mengemukakan syor-syor mengutuk Israel atas keganasan terhadap Palestin.

Ahli-ahli Parlimen Pembangkang Malaysia dalam satu kenyataan bersama pada Ahad berkata, sokongan bipartisan yang tidak berbelah bahagi ini mesti ditujukkan daripada semua pihak tanpa mengira parti.

“Ahli Parlimen mesti bertindak untuk mendedahkan kekejaman oleh Israel dengan mendesak Parlimen dan pemerintah pertamanya, menamatkan semua kerjasama dan perdagangan keselamatan ketenteraan dengan apartheid Israel dan rejim penindasan yang serupa di seluruh dunia.

“Kedua, melarang semua barang atau perkhidmatan syarikat yang beroperasi di penempatan penjajah haram Israel dan ketiga, menuntut penyiasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap apartheid Israel.

“Sebarang tindakan langsung atau tidak langsung, besar atau kecil, simbolik atau praktikal adalah penting dan boleh membawa kepada perbezaan yang besar,” kata mereka.

Ahli Parlimen Pembangkang Malaysia daripada pelbagai parti itu juga turut menggesa agar memboikot produk, perkhidmatan dan menggerakkkan tekanan institusi untuk melupuskan syarikat dan bank Israel serta antarabangsa yang terlibat dalam jenayah perang Israel.

“Kerajaan Malaysia mesti menunjukkan kecaman lebih keras terhadap tindakan pelanggaran dan penindasan Israel terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri, hak kembali, keadilan serta kebebasan dengan mendesak organisasi seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan yang lebih bermakna untuk melindungi rakyat Palestin.

“Kerajaan Malaysia sebagai pendokong kuat keadilan dan kedamaian perjuangan rakyat Palestin harus bersedia untuk menghantar utusan perdamaian ke Gaza,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut mereka, tindakan dan restu Amerika Syarikat atas kejahatan Israel terhadap hak sah rakyat Palestin mesti dikutuk dan dinilai semula selaras dengan rang undang-undang di kongres negara berkenaan yang bertujuan untuk mengakhiri keterlibatan Amerika Syarikat atas pelanggaran hak asasi manusia.

“Suatu kenyataan yang tidak dapat dinafikan bahawa bantuan Amerika Syarikat telah lama digunakan oleh Israel untuk melanggar hak asasi anak-anak dan merobohkan rumah keluarga Palestin,” katanya.