X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Kereta dirempuh ketika buat pusingan U

Rakaman CCTV kejadian rempuhan sebuah Volvo dengan Proton Perdana yang sedang membuat pusingan U dalam kejadian di hadapan Pasar Berek 12, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas patah tulang paha kanan dan tulang selangka kanan apabila kereta dipandunya dirempuh sebuah kereta lain ketika membuat pusingan U di hadapan Pasar Berek 12 di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari, mangsa berusia 60 tahun memandu kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam.

Rakan mangsa berusia 57 tahun yang duduk di kerusi penumpang hadapan bagaimanapun tidak cedera, manakala pemandu kereta jenis Volvo berusia 35 tahun cedera ringan di mulut dan patah gigi depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika kejadian, kereta Volvo berkenaan dari arah Berek 12 menghala ke Jalan Hospital.

“Apabila sampai di hadapan Pasar Berek 12, Proton Perdana yang ketika itu berada bahu jalan sebelah kiri secara tiba-tiba membuat pusingan U di hadapan menyebabkan terlanggar bahagian kanan Volvo lalu terbabas dan merempuh tiang kedai di bahu jalan bersebelahan.

“Kedua-dua pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Proton Perdana tersebut kerana membuat pusingan U dan menghalang laluan pemandu kereta Volvo yang bergerak lurus.

“Siasatan bagaimanapun diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian berkenaan menjadi tular di laman sosial.

Rakaman menunjukkan pemandu Proton Perdana yang membuat pusingan U dirempuh dengan kuat oleh Volvo berkenaan.

Kereta Volvo itu juga dikatakan dipandu laju menyebabkan rempuhan yang begitu dahsyat.

Difahamkan, pemandu Proton Perdana berkenaan tidak bekerja, manakala penumpangnya itu merupakan rakannya iaitu seorang suri rumah.

Pemandu Volvo berkenaan merupakan seorang peniaga.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!