X

Kindly register in order to view this article
!

Perlu segera wujudkan Field ICU di Hospital Kepala Batas

Dr Noor Hisham (dua dari kanan) ketika mengadakan perbincangan ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan Unit Rawatan Rapi Lapangan (Field ICU) di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia disebabkan faktor peningkatan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang telah mencecah lebih daripada 100 peratus.

Menurutnya, proses pembinaan 'Field ICU' tersebut sebagai persediaan bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang mendadak di Pulau Pinang.

“Kementerian Kesihatan juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang telah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini. Ia dijangka akan berterusan apabila wujudnya kluster-kluster baharu melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain.

“‘Field ICU ini akan menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan sokongan hayat lain.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit-pesakit kritikal yang ditempatkan di ‘Field ICU’ tersebut," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Dr Noor Hisham (tengah) ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Dr Noor Hisham (tengah) ketika mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi Dry Run Field ICU yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas.

Turut hadir ialah Pengarah Perubatan, Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Mejar Jeneral Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memberikan penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Panglima Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas segala kerjasama membina ‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas.

“Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit-pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!