Bersatu Bagan Serai sokong kepimpinan Peja

Ismail (duduk, tiga kanan) dan Noordin (duduk, dua, kanan) bersama aanggota MPKK dan ahli Bersatu Bahagian Bagan Serai.
A
A

BAGAN SERAI - Ahli Bersatu Bahagian Bagan Serai termasuk pimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menolak gesaan yang dibuat lapan bekas Ketua Bahagian yang mahu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Negeri.

Pengerusi MPKK Mukim Beriah, Ismail Bakar berkata, saranan itu, sama sekali tidak mewakili suara akar umbi.

"Semua rakan termasuk Pengerusi MPKK telah capai kata sepakat mahukan Datuk Seri (Ahmad Faizal) kekal sebagai Pengerusi Bersatu Perak.

"Kita yakin beliaulah satu-satunya calon parti yang menang dan dipilih pula menerajui negeri, sepatutnya sokongan itu datang dari ahli parti sendiri," katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, cadangan agar Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menggantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi Negeri juga tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana agenda Bahagian.

"Tidak ada sebarang provokasi sebelum ini, jadi kami tak mahu wujud sebarang unsur atau cubaan untuk memecahbelahkan Bersatu, lagi-lagi daripada bekas-bekas ketua Bahagian itu.

"Selama ini pun ahli dan MPKK telah lakukan sehabis baik sehinggalah kepimpinan sekarang yang mengutamakan ketelusan dapat diterima rakyat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Desak Ahmad Faizal letak jawatan

Desak Ahmad Faizal letak jawatan: Itu tindakan sabotaj!

Shaharuddin cuba sabotaj parti: Bersatu Perak

Pada sidang media Ahad lalu, lapan bekas Ketua Bahagian Bersatu di Perak mendesak agar Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar meletak jawatan kerana gagal dan tidak mampu mentadbir urus parti berkenaan dengan baik sehingga menimbulkan pelbagai masalah di peringkat akar umbi.

Selain Noor Azmi, mereka turut mencadangkan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi Bersatu Negeri.

Gesaan itu dibuat selepas pembubaran 13 jawatankuasa Bahagian Bersatu di Perak diputuskan menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti, 29 Januari lalu.

Dalam pada itu, Bekas Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Bagan Serai, Noordin Omar berkata, gesaan seumpama itu tidak wajar dibuat oleh mereka yang pernah bersama kepimpinan parti kerana boleh mengundang rasa goyah dalam kalangan ahli.

"Sebab itu kami ambil inisiatif menjelaskan kedudukan sebenar untuk mengembalikan rasa tanggungjawab pada ahli.

"Harap selepas dibubar, jawatankuasa yang dipilih kepimpinan negeri nanti benar-benar komited terhadap perjuangan parti," katanya.