Pemimpin Hamas hargai sokongan Malaysia

Ismail Haniyeh - Foto Ashraf Amra/APA images via ZUMA Wire/dpa
Ismail Haniyeh - Foto Ashraf Amra/APA images via ZUMA Wire/dpa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) Ismail Haniyeh menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong dan berdiri teguh mempertahankan hak rakyat Palestin sejak sekian lama.

Perkara itu antara yang dinyatakan dalam panggilan telefon dibuat Ismail yang juga Ketua Biro Politik Hamas kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu, bagi memaklumkan perkembangan terkini pencerobohan tentera rejim Israel terhadap bumi Palestin di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur.

Dalam satu kenyataan akhbar berbahasa Arab yang diterima Bernama, Ketua Setiausaha Akhbar Hamas Taher Nunu berkata, Ismail turut memuji peranan dimainkan Malaysia dalam isu Palestin dan hubungan bersejarah di antara kedua-dua negara.

Dalam perbualan itu, Taher berkata Muhyiddin turut menekankan hak rakyat Palestin untuk mendirikan negara merdeka dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Palestin serta mengakhiri penjajahan dan mendapatkan kebebasan.

Taher berkata, Malaysia menyokong hak-hak itu dan pada masa sama akan bekerjasama dengan beberapa negara Islam untuk bergerak terus demi rakyat Palestin dan memberikan sokongan kemanusiaan segera kepada mereka melalui institusi berkaitan.

Dalam perbualan telefon itu, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Malaysia akan bergerak di setiap peringkat termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majlis Keselamatan PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam usaha menghentikan serangan dan pencerobohan tersebut.

Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin kali ini bermula dengan serangan di Masjid al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lalu.

Sejak itu, seramai 139 orang, termasuk 39 kanak-kanak dan 22 wanita, telah terbunuh manakala 950 lagi cedera. - Bernama

Artikel Berkaitan: