531 penduduk Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah terlibat PKPD

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR GAJAH - Sebanyak 151 rumah melibatkan 531 penduduk di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah, di sini terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi hingga 29 Mei.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, lapan laluan tikus yang menjadi jalan alternatif keluar dan masuk ke kampung berkenaan turut dipantau bagi mengekang pergerakan sepanjang PKPD berkenaan.

"Polis dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Alor Gajah telah meletakkan batu penghadang jalan bagi menyekat pergerakan di laluan tersebut.

"Justeru, saya mohon kerjasama penduduk dan pengguna jalan raya utama di kawasan Lubok Redan agar bersabar dan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Operasi di Balai Raya Kampung Ujong Padang yang beroperasi 24 jam telah dibuka dan pegawai serta anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan ditempatkan di balai raya berkenaan bagi menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di kawasan PKPD berkenaan mendapati laluan utama masuk ke kampung berkenaan sunyi sepi dan tiada kenderaan keluar dan masuk.

Gelung kawat berduri sepanjang kira-kira tiga meter turut dipasang di laluan masuk kampung berkenaan dan dipantau pelbagai agensi antaranya polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela).

Dua hari lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Lubok Redan, Masjid Tanah setelah membuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri dilapor berkata, pelaksanaan PKPD di Kampung Lubok Redan adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar terhadap semua individu yang terlibat dan mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti luar. - Bernama