Pelajar MRSM Pengkalan Hulu tidak terima juadah raya dari luar

Saarani (tengah) mendengar taklimat daripada ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim (kanan) sewaktu melawat PKTK MRSM Pengkalan Hulu yang dikenakan PKPD.
Saarani (tengah) mendengar taklimat daripada ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim (kanan) sewaktu melawat PKTK MRSM Pengkalan Hulu yang dikenakan PKPD.
A
A
A

GERIK - Seramai 680 pelajar dan guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pengkalan Hulu, di sini tidak menerima juadah raya baru-baru ini disebabkan mereka hanya dibenarkan menerima makanan daripada pembekal yang dilantik, kata Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Jelas beliau, pembekal makanan bermasak yang dilantik oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bertanggungjawab menentukan makanan berzat dan selamat untuk kesemua pelajar dan guru yang terlibat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Kita bimbang kalau dibenarkan makanan luar masuk dan berlaku keracunan makanan, bagaimana kita hendak mengetahui punca sama ada daripada makanan disediakan pembekal dilantik atau dari luar.

"Saya faham ramai hendak bersedekah (juadah) dengan menghantar pulut, lemang dan sebagainya tetapi minta maaf kerana semua makanan yang ingin dibawa masuk perlu dihantar ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu bagi memastikan makanan selamat diambil," katanya kepada pemberita ketika melawat Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di MRSM berkenaan, di sini pada Ahad.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial mendakwa para pelajar MRSM Pengkalan Hulu tidak menerima sebarang juadah raya sejak hari pertama Hari Raya Aidilfitri dan makanan yang diterima didakwa dalam keadaan tidak elok.

Saarani berkata, lawatannya hari ini bertujuan mendapat gambaran sebenar terhadap dakwaan yang tular.

Beliau seterusnya menasihati orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat tidak benar bagi mengelak kebimbangan ibu bapa dan keluarga para pelajar.

Sementara itu, katanya, pihak berkuasa memutuskan untuk memperketat SOP bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah Pengkalan Hulu.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, pihaknya akan mengeluarkan beberapa SOP antaranya memastikan tiada aktiviti rentas daerah tanpa urusan penting, memendekkan waktu perniagaan bagi mengelak orang ramai berada di luar terlalu lama serta meningkatkan penguatkuasaan untuk memastikan penjarakan fizikal. - Bernama