Konflik Palestin-Israel: Naratif tipu acap kali dihujahkan zionis

Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik, naratif menipu yang sering kali dijadikan hujah angkuh puak Zionis.
Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik, naratif menipu yang sering kali dijadikan hujah angkuh puak Zionis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertikaian mengenai siapa tuan tanah dalam konflik Palestin-Israel adalah sesuatu yang klasik, naratif menipu yang sering kali dijadikan hujah angkuh puak Zionis.

Timbalan Pengerusi Sektor Penyelidikan, Penerbitan & Antarabangsa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, ia sering kali dijadikan hujah puak Zionis kononnya nenek moyang mereka sejak dari zaman Nabi Daud (King Daud) telah membentuk negara monarki Israel silam di kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Kan'an (Canaan).

Beliau berkata, catatan daripada kitab Injil (Bible) menyebut tanah tersebut asalnya dihuni oleh sekelompok manusia gergasi yang digelar Filistin (Philistine).

“Fanatik Zionis menuduh Palestin adalah istilah ciptaan Maharaja Rom, Hadrian yang menjajah kawasan tersebut setelah kejatuhan kerajaan Israel silam akibat perpecahan bangsa mereka selepas kemangkatan Nabi Sulaiman (King Solomon).

“Walhal fakta yang disembunyikan ialah Palestin (asalnya dieja Palaistine) pertama kali disebut oleh sejarawan Yunani (Greek) bernama Herodotus yang merujuk kawasan tersebut dalam catatannya hampir 500 tahun sebelum Nabi Isa lahir,” katanya dalam kenyataan pada Ahad

Muhammad Faiz menjelaskan perkaitan antara istilah Palestin dan Filistin turut diakui oleh banyak ensiklopedia Yahudi termasuk oleh ‘Jewish Virtual Library’ yang boleh diakses secara terbuka melalui internet.

Bagaimanapun pada 2019, beliau berkata, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menafikan perkaitan Arab Palestin moden hari ini dengan kaum Filistin silam setelah keputusan ujian DNA menunjukkan kaum Filistin berasal dari Eropah manakala Arab Palestin pula dikatakan berasal dari Semenanjung Arab.

Beberapa kajian DNA telah dijalankan untuk mencari perkaitan antara Arab Palestin, Yahudi, warga Kristian di Timur Tengah serta lain-lain etnik minoriti seperti Druze dan Kurdish dan antara hasil kajian terkenal ialah daripada seorang saintis genetik Jerman bernama Almut Nebel.

Artikel Berkaitan:

“Kertas kajian beliau yang bertajuk, High-resolution Y chromosome haplotypes of Israeli and Palestinian Arabs reveal geographic substructure and substantial overlap with haplotypes of Jews diterbitkan pada November 2000 oleh University College London adalah bukti nyata bahawa Arab Palestin adalah pribumi di kawasan itu.

“Nebel menyimpulkan bahawa sebahagian atau mungkin majoriti Muslim Palestin adalah keturunan dari penduduk asal (tanah Palestin), terutama dari para penganut Kristian dan Yahudi yang telah memeluk Islam pada abad ke-7,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, beberapa hasil kajian DNA yang lain juga menunjukkan bahawa Arab Palestin moden hari ini mempunyai pertalian genetik yang amat rapat dengan Yahudi berbanding sub-sub etnik Arab yang lain di Timur Tengah.

“Pendek kata DNA tidak menipu, tetapi Zionis ya, maka secara tidak langsung Arab Palestin yang majoritinya beragama Islam hari ini boleh dianggap sebagai salah satu daripada 10 kabilah Bani Israel silam yang dikatakan hilang setelah perpecahan bangsa tersebut,” katanya. - Bernama