Masjid Kariah Bandar Baru Senawang ditutup seminggu

Masjid Bandar Baru Senawang diarah tutup selama seminggu selepas salah seorang pegawainya didapati positif Covid-19.
Masjid Bandar Baru Senawang diarah tutup selama seminggu selepas salah seorang pegawainya didapati positif Covid-19.
A
A
A

SEREMBAN - Masjid Kariah Bandar Baru Senawang diarahkan tutup selama tujuh hari berikutan terdapat seorang pegawai masjid tersebut disahkan positif Covid-19 pada Sabtu.

Menurut Pengerusi masjid berkenaan, Shariman Azeze arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkuat kuasa 15 hingga 22 Mei.

"Penutupan sementara ini adalah bagi memberi ruang untuk mengesan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

"Kerja-kerja sanitasi masjid sudah pun dilakukan pada pagi Sabtu, sebaik sahaja makluman mengenai kes tersebut diketahui semasa solat Subuh semalam (Sabtu).

"Seramai 20 pegawai masjid termasuk sukarelawan yang bertugas di masjid ini telah menjalani ujian calitan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif, namun terdapat beberapa lagi masih menunggu keputusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Shariman memberitahu, jemaah yang datang ke masjid tersebut tidak perlu panik kerana keadaan masih terkawal.

Katanya, mereka yang berhubung rapat dengan pesakit Covid-19 sahaja dinasihatkan supaya membuat ujian calitan.

"Tidak ada keperluan untuk semua jemaah yang hadir ke masjid ini membuat ujian calitan, kontak rapat sahaja kita nasihatkan buat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, tular di media sosial mengenai salah seorang jemaah masjid di kariah tersebut disahkan positif dan meminta semua jemaah yang hadir pada solat Jumaat membuat ujian calitan.