Covid-19: Kes harian menurun kepada 3,780 kes

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kes harian Covid-19 menurun kepada 3,780 manakala jumlah kes sembuh meningkat kepada 3,990 pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui ciapan di Twitternya pada Ahad memaklumkan, perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan akibat virus itu ialah sebanyak 470,110 dan kumulatif sembuh ialah 426,319.

Jelasnya, daripada kes baharu itu, sebanyak 3,778 penularan tempatan membabitkan 3,441 warganegara dan 337 bukan warganegara manakala dua lagi kes import.

“Selangor masih menjadi negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,275 kes diikuti Sarawak (405), Kedah (363) dan Kelantan (357)," katanya.

Menurut beliau, kes baharu di Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 342 manakala Johor (224), Pulau Pinang (187), Pahang (159), Melaka (122), Perak (115), Sabah (87), Negeri Sembilan (70) dan Terengganu (58).

Selain itu katanya, Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan sebanyak tujuh kes baharu Covid-19, Wilayah Persekutuan Labuan tujuh dan dua kes di Perlis.

"Jumlah kes aktif setakat ini ialah 41,889 manakala sebanyak 520 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 272 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambahnya, terdapat 36 lagi kematian baharu menjadikan jumlah keseluruhan kematian kepada angka 1,902 setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, sebanyak 11 kluster baharu yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kluster sebanyak 1,887 dan 470 daripadanya masih aktif.

“Terdapat empat kluster yang melibatkan institut pendidikan manakala tiga kluster melibatkan komuniti, dua tempat kerja dan dua daripada aktiviti keagamaan,” jelasnya.