X

Kindly register in order to view this article
!

Israel mesti diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa: PN

Kezaliman Israel menyerang penduduk Palestin. - Agensi
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kejam Zionis Israel yang menyerang kota suci Palestin sehingga menyebabkan kerosakan dan pembunuhan rakyat Palestin perlu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menurut kenyataan bersama Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), tindakan tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya rakyat Palestin mendapat hak keadilan.

“Masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri lagi. Kami menyeru dan mendesak pemimpin negara seluruh dunia segera mengutuk kezaliman dan keganasan yang dilakukan.

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jangan membisu mengenai hal ini tetapi mestilah mengambil tindakan serta merta dan melaksanakan sekatan yang wajar ke atas Israel.

“Pembunuhan dan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Israel adalah satu jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Kenyataan bersama tersebut melibatkan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan Parti pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad.

Turut sama, Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Koo Shiaw Lee; Ketua Penerangan Parti Maju Sabah, Chin Vui Kai dan Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kumin.

Mereka turut menyokong usaha kerajaan Malaysia membantu rakyat Palestin dan memobilisasi sokongan antarabangsa untuk Palestin.

Kata kenyataan itu, pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelbagai bantuan dan usaha serantau yang dijalankan adalah bukti kesungguhan untuk penyelesaian tuntas dan keadilan rakyat Palestin.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan kami berdoa rakyat Palestin diberikan kesabaran, pertolongan serta kemenangan dalam usaha mereka memelihara maruah dan hak mereka.

“Kami juga mengajak semua rakyat memberikan sumbangan kepada warga Palestin sebagai tanda tanggungjawab membantu mereka yang dizalimi melalui kempen #Aid4Palestine atau melalui saluran lain yang sah,” kata kenyataan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!