X

Kindly register in order to view this article
!

MKN, PBT digesa pertingkat sanitasi tempat awam

Gambar yang dikongsi Khairuddin menerusi Facebook menunjukkan sebahagian petugas kesihatan melakukan ujian calitan kepada penduduk terlibat di Dewan Dato Abdullah Ahmad, Hutan Melintang, pada Sabtu.
A
A

Orang ramai diminta terus patuh SOP, beri penghargaan kepada frontliners

BAGAN DATUK - Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan digesa meningkatkan usaha sanitasi di tempat tumpuan awam khususnya di sekitar daerah Bagan Datuk susulan pertambahan kes serta kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang tinggi di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi berkata, antara kawasan terbabit ialah pasar awam, masjid, sekolah dan kenderaan awam.

Menurutnya, usaha lebih proaktif oleh semua pihak amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian virus Covid-19 manakala penduduk perlu akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Sejak beberapa hari lalu, kebanyakan penduduk di sekitar kawasan Hutan Melintang memilih untuk berada di rumah berdasarkan jumlah kenderaan di atas jalan raya yang turun dengan mendadak.

"Kita nampak usaha tanpa henti yang dilakukan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan proses saringan Covid-19 secara bersasar ke atas penduduk bagi memastikan jangkitan ini dapat diputuskan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Khairuddin berkata, penduduk yang memakai gelang merah jambu diminta terus kuarantin di rumah sehingga tempoh selesai bagi memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 di kawasan Hutan Melintang berjaya.

Tambahnya lagi, semua penduduk setempat juga diingatkan terus mematuhi SOP bagi mengelak jangkitan terus menular selain penghargaan buat seluruh petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan jangkitan dapat dihentikan.

Menurutnya, dalam masa sama, pihak MKN diharap melihat bantuan sesuai kepada mereka yang dikuarantin supaya penduduk terlibat tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh tersebut.

Jelas beliau, pihaknya juga akan turut menyalurkan maklumat kepada MKN mengenai keperluan penduduk agar tindakan segera dapat diambil.

Difahamkan pada Sabtu, ujian saringan secara besar-besaran dilakukan ke atas penduduk di beberapa kawasan sekitar Hutan Melintang berikutan peningkatan kes Covid-19 bagi Kluster Parit Lima yang tercetus sebelum ini.

Menerusi hantaran Facebook Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak pada Sabtu memaklumkan ratusan individu telah hadir ke Dewan Dato Abdullah Ahmad, Hutan Melintang bagi pengambilan sampel bersasar Covid-19.

Sehingga 15 Mei, Kluster Parit Lima terus meningkat kepada serama 77 orang dengan 44 kes baharu dicatatkan.

Menurut KKM, Kluster Parit Lima tercetus daripada satu majlis pengebumian yang diadakan pada 29 April 2021 melibatkan kes indeks seorang wanita berusia 64 tahun dari Jalan Parit 5, Sungai Sumun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 8 Mei 2021 hasil saringan kontak rapat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!