Sambutan Hari Guru dalam norma baharu

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SEREMBAN – Istimewanya sambutan Hari Guru pada tahun ini apabila ia disambut dalam suasana 'mood' Hari Raya Aidilfitri dengan norma baharu yang pastinya menjadi kenangan tidak mungkin dilupakan.

Pengerusi Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, tarikh 16 Mei memang sentiasa dinantikan oleh semua warga pendidik namun kali ini menyentuh emosi kerana negara dilanda pandemik Covid-19 ini.

“Tahun ini kita meraikan Hari Guru dalam suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri serta kes jangkitan positif Covid-19 yang semakin meningkat setiap hari. Selain itu dunia digemparkan dengan serangan ganas dan tidak berperikemanusian rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kita raikan sambutan ini dalam norma baharu dengan menjaga SOP (prosedur operasi standard) dan memanfaatkan dunia digital untuk menyampaikan mesej sambutan Hari Guru.

“Media digital menterjemahkan aspirasi penghargaan kepada warga guru yang tidak jemu mendidik generasi meskipun berdepan cabaran pendemik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Azizee berkata, pengalaman yang dilalui sebelum ini sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), seharusnya mematangkan warga guru untuk terus menimba ilmu dalam kemahiran digital bagi meningkatkan kompetensi diri sebagai pendidik.

Katanya, sebagai warga pendidik, cabaran seperti itu perlu disahut dengan baik bagi memastikan kelangsungan pendidikan dan tiada murid yang keciciran dalam mendapatkan akses pendidikan.

“Bagi berdepan cabaran PdPr 3.0, i Guru ingin menggesa kerajaan supaya meningkatkan akses capaian internet di kawasan luar bandar dan pendalaman serta menyegerakan bantuan alat peranti kepada murid dari keluarga B40.

Artikel Berkaitan:

“Menyediakan insentif khas untuk warga guru memanfaatkan pengajaran digital dengan tambahan pemberian data internet dan kos pembelian alat bantu mengajar secara digital.

“Kita juga memohon supaya dapat mengurangkan kerja-kerja pelaporan dan pengkeranian guru supaya dapat fokus kepada kemenjadian murid dan selain meminta supaya KPM (Kementerian Pendidikan) membangunkan aplikasi yang mudah serta mesra pengguna untuk tujuan pelaporan PdPR,” katanya.