Segera luluskan pelaksanaan ujian RT-PCR

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan digesa segera meluluskan inisiatif yang dikemukan kerajaan negeri bersama Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang berhubung pelaksanaan ujian Teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kaedah RT-PCR menggunakan sampel air liur iaitu menerusi kaedah Deep Throat Saliva (DTS) bagi tujuan saringan massa atau mass testing dalam kalangan pekerja sektor perkilangan di negeri ini.

Menurutnya, FMM sebelum ini telah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 7 Mei lalu dan ia wajar untuk diluluskan kerana kaedah berkaitan turut dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri bertarikh 10 Mei.

"Kerajaan Persekutuan juga wajar meneliti semula beberapa proposal serta surat diusulkan oleh kerajaan negeri sejak awal tahun ini yang bukan hanya memberi penekanan terhadap pendekatan saringan massa, malah juga vaksinasi hasil usahasama dengan pihak swasta," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada 15 Januari lalu beliau telah mengutus surat kepada KKM berhubung proposal kerjasama dengan FMM Pulau Pinang untuk menjalankan saringan massa dalam kalangan pekerja sektor perkilangan.

Tambahnya, ia disusuli pula dengan surat berhubung kira-kira 100 klinik swasta di bawah Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS) yang bersedia menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 secara percuma kepada penduduk di negeri ini.

"Sebagai tambahan, surat berhubung tajaan vaksin oleh pihak swasta khas kepada rakyat Pulau Pinang yang mana kerajaan negeri masih mengharapkan ‘lampu hijau’ daripada kementerian-kementerian berkaitan.

"Telah saya tekankan sejak awal berhubung pendekatan 3T iaitu mass testing (saringan massa), tracing (pengesanan kontak) dan treatment iaitu rawatan, formula ini tidak pernah memperlihatkan kelemahannya dalam usaha memastikan rakyat Pulau Pinang terus dilindungi sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi mengenai data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Kon Yeow berkata, sebanyak 57,666 saringan Covid-19 telah dilaksanakan terhadap kontak-kontak dikenal pasti di negeri ini bagi tempoh 25 April hingga 8 Mei iaitu membabitkan minggu epid 17 dan 18.

Katanya, bagi minggu epid 17 iaitu bermula pada 25 April hingga 1 Mei 2021, daripada 30,690 saringan yang dijalankan, sebanyak 994 adalah positif iaitu pada kadar positiviti 3.24 peratus, manakala bagi minggu epid 18 (2 Mei – 8 Mei 2021), bilangan kes positif adalah 1,682 daripada jumlah saringan berjumlah 26,976 dengan kadar positiviti 6.24 peratus.

"Berdasarkan trend laporan kes yang dicatatkan di Pulau Pinang kini, adalah wajar supaya penyumberan sumber manusia daripada sektor swasta atau lain-lain lapangan berkaitan dipergiatkan terutamanya dalam mempercepatkan pengesanan kontak serta kes-kes di lapangan.

"Selain itu pesakit-pesakit positif Covid-19 perlu segera diasingkan malah JKNPP perlu mengambil tindakan drastik terhadap aspek dinyatakan dengan memberikan latihan perlu kepada mereka yang ‘terpilih’ supaya keupayaan fasiliti perubatan sedia ada kini tidak lumpuh sepenuhnya," katanya.