Covid-19: Data menerusi aplikasi MySejahtera didakwa tidak tepat

Jumlah kes dilaporkan menerusi hotspot tracker aplikasi MySejahtera di Seksyen 12, di sini.
Jumlah kes dilaporkan menerusi hotspot tracker aplikasi MySejahtera di Seksyen 12, di sini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di Seksyen 12 di sini mempersoalkan data yang dikeluarkan menerusi Hotspot Tracker aplikasi MySejahtera yang didakwa tidak tepat sehingga menimbulkan situasi panik masyarakat.

Menerusi data yang dikeluarkan pada Sabtu, kawasan berkenaan dilaporkan merekodkan sebanyak 52 kes positif Covid-19 dalam lingkungan satu kilometer dan menjadi lokasi berisiko bagi penularan wabak itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Kayangan Seksyen 12, Datuk Helmi Daud berkata, data itu meragukan kerana pihaknya sebelum ini langsung tidak menerima sebarang laporan daripada penduduk yang dijangkiti wabak tersebut.

"Seksyen 12 mempunyai sekitar 83 rumah dan 60 keluarga menetap di sini namun saya sendiri tidak menerima laporan penduduk dijangkiti Covid-19.

"Jadi data-data dikeluarkan menerusi aplikasi MySejahtera itu tidak tepat dan menimbulkan kekeliruan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Selepas data itu disiarkan menerusi aplikasi berkenaan, Helmi berkata, dia telah dihubungi oleh pelbagai pihak termasuk wakil dari Istana Selangor yang bertanya mengenai status wabak berkenaan di kawasan itu.

Menurutnya, data yang dikeluarkan itu perlu diteliti semula kerana banyak pihak keliru dan beranggapan terdapat penduduk yang positif serta dijangkiti wabak tersebut.

"Beberapa kawasan sekitar Seksyen 12 dalam radius satu kilometer seperti Seksyen 11 dan 13 sebelum ini sememangnya pernah merekodkan kes positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, adalah tidak adil jika kes dari kawasan itu yang berada dalam radius satu kilometer dari sini turut diletakkan di bawah Seksyen 12 sehingga menyebabkan banyak pihak panik sedangkan tiada penduduk sini yang positif," katanya.

Tambahnya, laporan data yang disiarkan menerusi aplikasi itu seharusnya lebih tepat dan terperinci bagi menggelakkan salah faham dan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Hotspot Tracker menerusi aplikasi MySejahtera dibangunkan bagi membolehkan orang ramai mengesan kes positif Covid-19 yang dilaporkan dalam radius satu kilometer dari kawasan tertentu

Kemudahan berkenaan membantu orang awam menjalankan aktiviti harian dan merancang perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko.