Sarawak bakal terima 500,000 vaksin Sinovac dalam masa seminggu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri dalam tempoh seminggu, kata Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Dr Annuar Rapaee.

Dr Annuar berkata, tambahan 500,000 dos vaksin jenis sama juga akan diterima Sarawak selepas itu.

Namun beliau tidak menyatakan jumlah kos yang ditanggung kerajaan negeri untuk membiayai pembelian vaksin tersebut.

"Vaksin ini juga akan diberi secara percuma oleh kerajaan negeri kepada hospital swasta untuk membantu mempercepatkan program imunisasi Sarawak,” katanya ketika bersiaran langsung melalui media sosial miliknya malam tadi.

Sementara itu, Dr Annuar yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu berkata, pusingan ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi daerah Sibu untuk golongan warga emas akan diadakan pada 18 dan 19 Mei ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Tertutup Sibu. - Bernama

Artikel Berkaitan: