Minyak sawit: Malaysia, Perancis adakan dialog

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Perancis akan menganjurkan dialog bersama dan memperkukuh penglibatan masing-masing untuk mendapat lebih kefahaman mengenai industri minyak sawit.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, berkata ia merupakan susulan daripada kunjungan hormat Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche semalam, yang membincangkan kaedah meningkatkan hubungan dua hala dan dialog mengenai minyak sawit, selain menggalakkan jalinan kerjasama sesama penggubal undang-undang kedua-dua negara.

Ini susulan keputusan Dewan Negara Perancis untuk mengecualikan penggunaan minyak sawit sebagai stok suapan biodiesel selain menamatkan insentif cukai pada 2020.

“Kami berharap ia mampu menjawab banyak persoalan mengenai penghasilan minyak sawit dan kemampanan dalam kalangan penggubal undang-undang dan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan Persahabatan Parlimen Perancis-Malaysia yang diwujudkan pada 2018, menumpukan kepada kerjasama dua hala, manakala mesyuarat Majlis Perniagaan Malaysia-Perancis pada Mac ini akan membincangkan mengenai pelbagai isu berkaitan minyak sawit.

Dalam kunjungan itu, Laplanche memaklumkan kepada Kok bahawa Duta Alam Sekitar Perancis Wehrling Yann bercadang melawat Malaysia untuk mendapat pendedahan awal berhubung amalan minyak sawit mampan di Malaysia serta aktiviti pemuliharaan.

Menerusi lawatan Yann yang dijadual pada April, Laplanche bercadang mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Perancis bagi kerjasama mengenai minyak sawit, diadakan untuk mempromosi dialog mengenai minyak sawit selain menganjurkan lawatan ke ladang minyak sawit dan tapak pemuliharaan hidupan liar sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan.

Dalam usaha menangani persepsi negatif dalam kalangan pelanggan warga Perancis terhadap minyak sawit, beliau berkata Kedutaan Perancis akan menyelaras program melibatkan Institut Pengajian Tinggi Bagi Sains dan Teknologi di Perancis yang menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan tinggi dan industri minyak sawit.

Artikel Berkaitan:

Program itu akan disertai ahli akademi, sektor swasta dan pegawai kerajaan dari kedua-dua negara, dan hasil program itu akan dibentangkan di Parlimen Perancis.

Kok dan Laplanche turut membincangkan tindakan Dewan Negara Perancis meminda Belanjawan 2019 pada 19 Dis, 2018 untuk mengecualikan penggunaan stok suapan biodiesel dan menamatkan insentif kewangan minyak sawit daripada 1 Jan, 2020.

Laplanche berkata ia akan diguna pakai sebagai undang-undang di Perancis.

Pada bulan lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat bantahan kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron yang meminta cadangan Dewan Negara Perancis itu ditolak, sambil menyatakan bahawa ia boleh mencetuskan “penyesalan ekonomi (dua hala) dan Impak ke atas perdagangan.”

Kok berkata, langkah itu mengecewakan Malaysia kerana ia dilihat sebagai larangan de facto berikutan penghapusan insentif fiskal akan meningkatkan harga minyak sawit dan mewujudkan satu penghalang untuk terus digunakan sebagai bahan mentah bagi tenaga boleh baharu.

“Dewan Negara Perancis juga memutuskan menggunakan biobahan api minyak sawit dan bukan bahan api hijau, selain jaminan daripada Kerajaan Perancis pada Januari 2018 yang tidak akan mendiskriminasi minyak sawit,” katanya.

Laplanche berkata kerajaan Perancis tidak menentang minyak sawit dan meluluskan kilang penapisan bio milik kumpulan France’s Total Oil yang mencadangkan penggunaan 350,000 tan metrik minyak sawit setahun.

Beliau berkata lebih banyak penyelidikan mengenai manfaat minyak sawit perlu mendapat publisiti kerana banyak penemuan negatif mengenai minyak sawit telah disebarkan, sekali gus mempengaruhi persepsi orang awam di Eropah.

Menurut Laplanche, Presiden Perancis akan memberikan maklum balas terhadap surat Dr Mahathir kelak.- Bernama