Insiden Parit Raja bahayakan negara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan ‘Kerajaan Gagal’ adalah suatu tindakan berbahaya kerana ia mencetuskan kekecohan ketika kerajaan bertungkus-lumus untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 sekali gus mengukuhkan semula ekonomi negara.

Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, gerakan sedemikian boleh menyebabkan tumpuan kerajaan tersasar daripada landasan yang sewajarnya diutamakan berhubung usaha mengekang Covid-19.

“Negara kita ketika ini berhadapan dengan kemelut Covid-19 sangat kritikal iaitu gelombang ketiga yang mempunyai kadar penyebaran penyakit sangat tinggi serta menyebabkan peningkatan kes secara luar biasa.

“Sudah tentulah dalam keadaan situasi semasa ini, kita tidak boleh mempunyai pelbagai isu yang mengalih perhatian kerajaan ke arah memulihkan kesihatan penduduk dan pada masa sama memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, tumpuan kerajaan pada masa ini seharusnya kepada keselamatan rakyat dan kepentingan ekonomi negara terlebih dahulu.

Dalam pada itu, beliau berkata, masyarakat disaran menggunakan medium lebih sesuai untuk menyalurkan sebarang bantahan kepada pihak kerajaan kerana sebarang tindakan mesti berlandaskan undang-undang dan mengikut prinsip demokrasi.

“Misalnya memorandum, mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib dan sebagainya.

“Memang akan ada rakyat yang tidak berpuas hati dengan cara dan bentuk pentadbiran kerajaan sedia ada namun ada mekanisme lain yang boleh dilakukan oleh mereka untuk menyuarakan ketidakpuasan hati,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir menyifatkan aktiviti demonstrasi berkenaan adalah gambaran manifestasi kekecewaan golongan anak muda terhadap keupayaan kerajaan dalam menangani isu-isu berkaitan wabak Covid-19 serta peluang pekerjaan masa kini.

“Mereka terkesan dengan masalah yang membelenggu negara ketika ini, seolah-olah tidak dapat keluar daripada lingkaran masalah tersebut selepas sekian lama walaupun darurat telah diisytiharkan,” katanya.

Namun beliau tidak menafikan tindakan seperti itu tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya politik negara.

“Ini tidak boleh membantu negara selesaikan masalah yang dihadapi, malah mungkin menimbulkan masalah di pihak mereka sendiri,” tambahnya.

Pada 16 April lalu, tanda pagar #KerajaanGagal diwujudkan oleh pengguna Twitter berikutan mendakwa kecewa terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan tidak cekap mengendali isu seperti Covid-19 dan ekonomi negara.

Pada 12 Mei pula, semburan cat dan kain rentang dengan hashtag mesej ‘Kerajaan Gagal’ muncul di beberapa kawasan di sekitar Sungai Melaka di mana panel iklan diconteng dengan cat berwarna hitam dan merah.

Kemuncaknya Jumaat lalu, polis Johor menahan 20 anak muda kerana disyaki terlibat dalam insiden demonstrasi jalanan, membakar suar serta menaikkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat yang kemudian tular di media sosial.