Aman Palestin, Mapim sasar kutipan RM10 juta

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM – Aman Palestin menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM10 juta menerusi Tabung Bantuan Kecemasan di Gaza dan Tebing Barat bagi membantu rakyat Palestin susulan serangan rejim Zionis di wilayah terbabit.

Pengarah Media dan Korporat Aman Pelestin, Anas Abdul Wahab berkata, tabung itu mula dilancarkan sejak Palestin diserang Isnin lalu.

“Anggaran yang diterima setakat ini hampir RM5 juta dan kutipan masih diteruskan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurutnya, kutipan sumbangan itu akan tamat selepas serangan rejim Zionis ke atas Palestin dihentikan.

Tambahnya, selain kutipan sumbangan, bantuan perubatan turut disalurkan kepada rakyat Palestin.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan sumbangan dengan melayari laman sesawang Aman Palestin atau menghubungi laman sosial pertubuhan itu untuk sebarang pertanyaan.

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM10 juta dengan kerjasama 10 organisasi lain bagi tujuan sama.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sumbangan itu akan disalurkan ke Gaza dan Masjid al-Aqsa kerana kedua-dua lokasi itu terjejas teruk diserang rejim Zionis.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kutipan sumbangan adalah berdasarkan keupayaan dan akan digabungkan dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

“Semua sumbangan yang sedia ada akan dihantar segera selepas tempoh berkenaan,” katanya.