Heret Israel ke muka pengadilan

No Image Caption
A
A
A

RAKYAT Palestin menyabung nyawa mempertahankan Baitulmaqdis dan tanah air mereka daripada jatuh ke tangan rejim Zionis. Sudah ramai yang gugur syahid, namun perjuangan mereka tetap diteruskan.

Kekejaman rejim Zionis tidak lagi berselindung. Acapkali setelah kekejaman rejim Zionis dilakukan, maka tampillah kecaman dan demonstrasi membantah kekejaman itu di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Rejim Zionis telah lali dengan kutukan dan kecaman antarabangsa itu. Ia tidak sedikit pun menakutkan rejim Zionis yang berselindung di belakang kuasa-kuasa besar dunia. Mereka sangat faham umat Islam sendiri berpecah-belah dan terlalu mementingkan diri sendiri, tidak berupaya mempertahankan saudara seagama kita di Gaza dan Palestin. Bumi Palestin sentiasa dibasahi darah para syuhada yang mempertahankan kedaulatan negara dan agama.

Sudah tiba masanya bertindak, tidak hanya menyuarakan kecaman semata-mata. Kemungkaran besar yang dilakukan rejim Zionis perlu ditangani mengikut tatacara yang diajar sendiri oleh Rasullullah sebagaimana pernah disabdakan baginda yang bermaksud: “Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah mencegahnya dengan tangan (kekuasaan) jika sekiranya dia tidak berkemampuan, maka hendaklah dia mencegahnya dengan lidah (suara) dan sekiranya masih tidak berkemampuan, maka hendaklah dia mencegahnya dengan hati (menyatakan kekesalan), dan ia adalah selemah-lemah iman.”

Piawaian digunakan Rasulullah dalam mencegah kemungkaran adalah berbeza mengikut kemaslahatan dan tahap keimanan. Jika kekejaman rejim Zionis ini kita hanya berasakan tidak puas hati, maka iman kita berada pada tahap sangat kritikal dan lemah.

Namun, sekiranya dengan bersuara membuat kecaman, kutukan dan menzahirkan rasa benci, maka tahap keimanan sedikit meningkat tetapi yang terbaiknya adalah seorang Muslim itu dapat mencegah kemungkaran menerusi kekuasaan yang ada.

Dalam konteks kekejaman rejim Zionis, tahap yang kedua sudah tidak lagi berkesan kerana rejim Zionis langsung tidak mengendahkannya. Umat Islam perlu bersatu membentuk pasukan yang kuat menggunakan sebarang kelebihan yang ada bagi menolak kemungkaran. Umat Islam perlu berani menolak kepentingan diri dan ikhlas walaupun menongkah arus tidak seiring dengan kuasa-kuasa besar.

Tindakan rejim Zionis adalah jenayah terhadap keamanan dan kemanusiaan.

Perkara 6 Charter Provisions of Nuremburg Trials mentafsirkan jenayah terhadap keamanan bermakna 'merancang, menyediakan, memulakan atau melaksanakan suatu peperangan atau penindasan, atau peperangan yang melanggar perjanjian atau triti antarabangsa ataupun menyertai dalam rancangan bersama atau konspirasi untuk mencapai apa yang dimaksudkan tadi’, manakala jenayah terhadap kemanusiaan pula adalah 'pembunuhan, deportasi dan sebarang perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap orang awam sebelum atau semasa peperangan...’Israel tidak mempunyai kuasa sah menyerang rakyat Palestin yang mempertahankan kediaman mereka dan kesucian Baitulmaqdis.

Pejuang Hamas yang mempertahankan kedaulatan Palestin bertindak balas atas serangan kejam rejim Zionis. Masyarakat Islam khususnya dan masyarakat antarabangsa tanpa mengira ras, agama dan warna kulit perlu mengheret Israel ke muka pengadilan atas jenayah dilakukan iaitu jenayah terhadap keamanan dan jenayah terhadap kemanusiaan. Mahkamah antarabangsa perlu memutuskan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Sudah sampai masanya kita tidak hanya mencegah kemungkaran dengan suara tetapi menggunakan kekuasaan dan akal fikiran bagi mendatangkan keamanan sejagat.

Saya teringat ketika menziarahi Baitulmaqdis beberapa tahun lalu, terbaca di sebuah tanah perkuburan Islam kata-kata seperti berikut: “Bukanlah hari raya itu dengan memakai (hanya) pakaian baharu tetapi sesungguhnya hari raya itu (sebenarnya) adalah mati syahid.” Begitu membara semangat warga Palestin menentang keganasan rejim Zionis. Mereka tidak mementingkan perayaan tetapi perjuangan membebaskan bumi barokah itu.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.