X

Kindly register in order to view this article
!

Mustika Raya Nusantara

A
A
BEBERAPA hari menjelang raya, saya bersama Datuk Rahman Shaari selaku Presiden Persatuan Penyair Malaysia dan beberapa orang sahabat berbual-bual melalui grup telefon tentang persediaan menyambut kehadiran Syawal tahun ini. Persediaan yang dimaksudkan juga merangkumi kecakupan dan kecukupan fungsi kami sebagai peraju persatuan berasaskan kesusasteraan.Pada masa yang sama, kondisi walang pandemik juga masih menggusarkan. Kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk tiada kebenaran merentas daerah dan negeri kecuali atas kes-kes tertentu mengikut prosedur operasi standard yang dibenarkan.

Ziarah raya dari rumah ke rumah juga tidak dibenarkan sama sekali. Dalam bahasa mudahnya, perayaan hanya dibenarkan disambut di dalam rumah masing-masing.

Arahan kerajaan ini ada asasnya demi kepentingan negara dan keselamatan nyawa rakyat. Sudah pasti ada suara-suara dan nada protes yang mempertikaikan arahan ini.

Malahan ada juga yang mencuba nasib dengan melalui laluan-laluan tikus untuk menghalalkan hasrat mereka balik ke kampung. Fatwa mufti yang turut menyokong gesaan Perdana Menteri agar tidak pulang ke kampung semasa musim perayaan ini juga dijadikan bahan lekehan dan cercaan.

Pandemik yang dijadikan polemik sebegini boleh dilihat dari pelbagai perseptif. Bagi kelompok yang berfikiran positif dan memahami kehendak kerajaan ini sudah pasti dengan hati terbuka akan menerimanya secara berlapang dada. Natijah yang berlaku di negara-negara lain seperti di India yang melibatkan kenaikan mendadak daripada 11,000 kes kepada 250,000 kes selepas menghadiri upacara keagamaan di Sungai Gangga sudah cukup untuk dijadikan iktibar.

Wabak

Peningkatan wabak yang membunuh ribuan nyawa hinggakan mayat-mayat terpaksa dibakar di jalan-jalan raya. Peristiwa-peristiwa sebegini sudah pasti meruntun nubari dan nyali rasa kemanusiaan kita.

Apatah lagi kelompok penyair sering dianggap sebagai manusia yang mempunyai rasa yang lebih dalam berbanding manusia biasa. Kematian demi kematian yang berlaku di hadapan mata perlu disingkap dan diungkap dari kaca mata berbeza agar kemanusiaan dan persaudaraan tidak terus melebur.

Lama juga kami berbicara tentang hal ini. Persatuan perlu melakukan sesuatu bagi membantu masyarakat menyalur dan meluahkan perasaan untuk menyambut Syawal. Kehadiran Aidilfitri tidak sewajarnya ditanggapi dengan perasaan sedih dan kecewa.

Ikatan ukhuwah dan silaturrahim masih boleh terus terjalin waima tidak dapat bertemu wajah dan bersua muka secara bersemuka. Norma baharu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai pelantar penghubung untuk saling mendekatkan.

Merriam-Webster sering mengungkapkan bahawa penyair ialah mereka yang kreatif serta mempunyai imaginasi, ekspresi dan sensitiviti istimewa.

Penyair boleh menangkap dan menangani apa sahaja yang berlaku dalam ruang persekitarannya untuk berkarya. Hatta jika tubuhnya terkurung dalam jeriji penjara, seseorang penyair sejati masih mampu berkarya kerana pemikirannya masih bebas merewang melepasi jeriji tembok.

Seperti penyair tersohor dunia, Emily Dickinson yang jarang-jarang meninggalkan kediamannya namun masih mampu menyelami dasar hati manusia melalui karya-karyanya yang dalam dan tidak samar permaknaannya.

Sudah menjadi kebiasaan untuk kita mengadakan rumah terbuka ketika Aidilfitri tetapi mana mungkin sambutan sebegini boleh dilakukan dalam kondisi negara sekarang.

Saya lontarkan kepada Datuk Rahman, kenapa tidak kita adakan rumah terbuka secara dalam talian sahaja? Malahan kita juga boleh turut mengundang rakan-rakan dari negara-negara lain untuk turut serta dan sama-sama meraikan lembaran Aidilfitri.

Acara

Dari sesi sembang-sembang inilah memunculkan gagasan acara Mustika Raya Nusantara yang disambut semalam, 3 Syawal 1442H.

Acara ini juga mendapat sokongan dan dokongan daripada persatuan dan komuniti sastera lain dalam negara mahupun luar negara seperti Komuniti Menulis Malaysia, Salmah Creative Writing, Komunitas Seni Kuflet, Imaji Indonesia, Klinik Pantun Nusantara yang mewakili Indonesia, Kelab Bahasa dan Budaya Melayu Sekolah Darussalam (Thailand), Ombak Script House Production (Singapura) dan Akademi UF (Brunei Darussalam).

Melalui aplikasi Zoom yang digunakan sebagai wadah silaturrahim. Tetamu yang hadir dari negara-negara nusantara bukan sahaja saling menyampaikan ucapan hari raya malahan menggunakan kesempatan untuk bertanya khabar dan berkongsi tentang sambutan Aidilfitri di negara mereka dari segi persediaan juadah hidangan, pakaian, keunikan budaya lokal dan sebagainya. Ada juga yang mengambil ruang pertemuan untuk menyampaikan sajak, berpantun, berseloka, bersyair dan menyanyikan lagu raya.Relung rasa sang penyair tidak semestinya berada pada amplitude dan frekuensi yang sama pada setiap masa. Persekitaran berbeza sering memberikan mood yang berbeza dalam berkarya.

Dalam erti kata lain, kebebasan dan ekpresi masih memerlukan satu sandaran suasana atau situasi untuk merangsang penyair berkarya dalam apa jua bentuk. Kesanggamaan antara luahan diksi penyair, kebebasan dan ekspresi saling melengkapi dan bersifat semula jadi dalam diri penyair.

Mustika atau mestika bermaksud kekasih yang disayangi. Dalam suasana Syawal dan kemelut pandemik tanpa henti, kontek dan konsep kekasih sewajarnya diperluas tanpa batas.

Berkasih-kasihan sesama manusia tanpa beda agama, bangsa dan darjat. Merapatkan tali persaudaraan merentasi samudera dan negara. Malahan yang lebih utama, doa dan harapan menjadi senjata ampuh yang paling penting untuk dipanjatkan kepada kekasih sejati, Tuhan pencipta sekalian alam.Semaraknya karya seni dan jiwa sastera dalam apa-apa jua kondisi mahupun genre sekalipun bergantung kepada apresiasi seni itu sendiri. Ada hubungan yang simbiotik untuk saling melengkapi. Sebagai warga seni dan sastera, ekspresikan sahaja ruang kebebasan itu tanpa prejudis dan jadikannya sebagai inspirasi tanpa henti kepada khalayak.

*Tuan Asri Husin ialah Setiausaha Agung Persatuan Penyair Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!