Covid-19: Kesabaran dan masa

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PENGARANG besar Rusia, Leo Tolstoy dalam novel War and Peace menulis 'yang paling kuat daripada semua pahlawan adalah kedua-duanya — Masa dan Kesabaran’. Itulah juga realiti dalam perang menentang Covid-19. Ia memerlukan masa dan kesabaran.

Namun, tidak ramai orang mempunyai kesabaran kerana telah lebih setahun berkurung dan melalui pelbagai peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) yang berubah-ubah. Kerajaan dituduh sebagai flip-flop atau tidak konsisten.

Ia bukan sahaja aliran pemikiran rakyat Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Rakyat Jerman misalnya, ada yang berdemonstrasi membantah peraturan baharu melibatkan SOP ekonomi dan sosial.

Hakikatnya di seluruh dunia, negara-negara maju, membangun dan mundur bergelut mencari formula yang diyakini mampu menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin tetapi tidak banyak negara yang mempunyai formula terbaik dan berjaya mengehadkan penularan secara tuntas.

Hanya beberapa negara dilihat mampu mengekalkan kadar penularan Covid-19 sifar atau di bawah dua angka seperti Australia, New Zealand, Singapura, Brunei dan China.

Australia, New Zealand, Brunei dan Singapura mempunyai kelebihan pintu sempadan mereka sangat terkawal dan jarang ada pendatang asing tanpa izin (PATI). Ia berbeza dengan Malaysia yang berdepan gelombang kedua pandemik akibat kemasukan PATI melalui perairan Sabah yang luas dan berhampiran Indonesia serta Filipina.

Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Kanada sering dikait-kan dengan tadbir urus cekap juga berdepan gelombang penularan baharu yang membimbangkan setelah membuka sektor ekonomi dan sosial.

Mereka juga memperkenalkan SOP yang berubah-ubah mengikut tahap penularan. Justeru, perubahan SOP sektor ekonomi, sosial dan pendidikan bukan sekadar keluarbiasaan di Malaysia. Satu-satunya harapan kita menang dalam perang menentang Covid-19 adalah mewujudkan kekebalan kelompok (herd immunity) kepada lebih 70 peratus penduduk dunia termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sekali lagi, ia menuntut kesabaran dan masa kerana vaksinasi mengambil masa panjang, mungkin sehingga akhir 2022. Dunia memerlukan sekitar 12 bilion dos vaksin Covid-19 untuk memvaksin sekitar 70 peratus penduduk dunia. Angka 70 peratus itu adalah had minimum bagi membolehkan wujudnya kekebalan kelompok untuk Covid-19. Pengeluar vaksin Covid-19 memberi unjuran mereka mampu menghasilkan 12 bilion dos tahun ini.

Namun, penganalisis kesihatan di Duke Global Health Innovation Center, Amerika Syarikat meraguinya kerana ia adalah anggaran optimis, bukannya berdasarkan risiko-risiko pembekal ketiga dalam menyediakan bahan dan peralatan untuk membuat vaksin dan menyimpannya.

Malah, mereka beranggapan walaupun pengeluar vaksin berupaya menghasilkan 12 bilion dos vaksin, pengedarannya ke seluruh dunia akan mengambil masa sehingga pertengahan 2022. Itu bermakna proses imunisasi mengambil masa sehingga akhir 2022.

Bila sudah berpuluh tahun berhari raya, kadang-kadang kita sudah lupa nikmat hari raya sebenarnya. Sepanjang hidup ini saya menyaksikan evolusi perayaan Aidilfitri yang sangat luar biasa dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Dari sekadar berhari raya sehari dua, budaya kita berubah kepada beraya sebulan. Beberapa tahun kebelakangan ini, ada yang masih mengadakan rumah terbuka Aidilfitri sehingga melepasi bulan Syawal.

Ketika Ramadan adalah bulan perjuangan, pengorbanan dan keinsafan, Aidilfitri telah menjadi bulan bersuka ria dan berpesta makanan. Maka, raya dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun ini mungkin peringatan ALLAH akan sikap berlebih-lebihan kita beraya sebelum ini.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-Asr:1-3).

Bersabarlah kita semua buat sementara waktu.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)