Belia berisiko dijangkiti Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti trend terkini jangkitan wabak Covid-19 semakin tinggi dalam kalangan golongan belia di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 8 Mei lalu melaporkan bahawa kadar jangkitan Covid-19 dikesan tinggi bagi individu berusia antara 20 hingga 39 tahun sepanjang 1 Januari hingga Mei ini.

Beliau berkata, ramai golongan belia telah dimasukkan di hospital dan unit rawatan rapi (ICU) kerana gejala semakin teruk, malangnya rawatan yang ditawarkan pula kurang memberi impak besar kepada golongan berkenaan.

Menurut akhbar harian, Malaysia Nanban, pendedahan KKM itu ternyata telah mencetuskan kebimbangan dan ketakutan kepada rakyat Malaysia terutama golongan belia yang semakin menjadi buruan virus pembawa maut itu.

Malaysia Nanban berkata, implikasi daripada jumlah kes harian yang berada pada paras empat angka ketika ini menjadi ancaman besar kepada belia yang cepat menghidap penyakit berpandemik tersebut.

Trend jangkitan dalam kalangan belia juga diramal menjadi lebih parah. Tambahan pula, kelonggaran yang membenarkan mahasiswa di universiti-universiti awam pulang ke kampung halaman secara langsung mempengaruh kadar jangkitan Covid-19 golongan belia dan melonjakkan lagi jumlah kes harian tempatan.

Sehingga kini, ribuan mahasiswa dikatakan telah pun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing. Malaysia Nanban mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan ia kurang adil kerana mengundang bahaya kepada mahasiswa serta ahli keluarga mereka.

Kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19 dikesan tiada punca jangkitan dan melibatkan kes sporadik, jadi golongan belia yang mempunyai kesihatan yang baik serta sistem imunisasi tinggi juga boleh menjadi mangsa Covid-19 yang meragut nyawa.

Artikel Berkaitan:

Justeru, golongan belia usahlah mengambil mudah wabak Covid-19 dan bersikap leka dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak KKM serta kerajaan demi mencantas rantaian jangkitan berkenaan.

Dalam pada itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan Februari lalu telah pun melalui fasa pertama dan kedua dengan jayanya. Kini, sasaran fasa ketiga melibatkan individu berusia lebih 18 tahun iaitu golongan belia.

Selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan SOP yang ketat, implementasi program imunisasi kebangsaan tentunya menjadi solusi baik untuk membendung jangkitan Covid-19 merebak secara mendadak dalam kalangan belia.

Golongan berkenaan amat digalakkan menyertai program imunisasi kebangsaan dan mengambil suntikan vaksin sedia ada bagi menjamin kesihatan mereka.

Kerajaan Malaysia sememangnya sudah berhasrat memberi suntikan vaksin secara percuma kepada seluruh rakyat melalui fasa demi fasa yang ditetapkan pihak KKM.

Sebanyak empat jenis suntikan vaksin iaitu Pfizer-BioNTech dari Jerman, Sinovac (China), AstraZeneca (Britain) dan SputnikV (Rusia) disediakan, sebaliknya KKM hanya meluluskan penggunaan tiga jenis vaksin tersebut.

Lebih 500,000 orang dilaporkan telah mengambil suntikan vaksin yang disediakan KKM.

Diharap fasa ketiga program imunisasi kebangsaan dijalankan dengan segera agar golongan belia yang kini berhadapan ancaman jangkitan Covid-19 dapat melindungi diri masing-masing kerana warganegara muda itu menjadi tunjang kepada survival Malaysia.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor