Kerakusan Israel di bumi Palestin

Kebakaran besar akibat serangan udara Tentera Israel di bangunan al-Walid, bandar Gaza pada Khamis lalu. - AFP
Kebakaran besar akibat serangan udara Tentera Israel di bangunan al-Walid, bandar Gaza pada Khamis lalu. - AFP
A
A
A

PERTEMPURAN membabitkan pejuang-pejuang Palestin termasuk Hamas yang bermula sejak Isnin lalu semakin sengit apabila lebih 100 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terkorban dan ratusan lagi cedera manakala seramai tujuh penduduk Israel terbunuh pada 14 Mei lalu.

Israel yang mempunyai jumlah penduduk seramai 9.2 juta orang pada tahun lalu itu menggunakan puluhan jet dan helikopter menyasarkan ratusan serangan udara termasuk meranapkan beberapa buah bangunan dipercayai menjadi tempat tinggal komander Hamas dan tempat persembunyian pejuang Palestin di Gaza.

Namun, serangan itu turut menyebabkan ramai penduduk biasa Palestin termasuk kanak-kanak terkorban dan cedera dalam serangan udara Tentera Israel.

Pertempuran itu dianggap paling sengit selepas Perang Gaza yang dilancarkan oleh tentera Israel pada tahun 2014 yang berlanjutan lebih 49 hari bagi menghapuskan sasaran ketenteraan Hamas tetapi menyebabkan lebih 2,000 penduduk Palestin terkorban manakala lebih 10,000 orang lagi cedera.

Perang itu berakhir pada 26 Ogos 2014 selepas satu gencatan senjata dipersetujui antara rejim Zionis dan Hamas.

Selepas perang tersebut berakhir ada sahaja insiden yang melibatkan pembunuhan dan kecederaan penduduk Palestin oleh rejim Zionis di Gaza.

Penduduk Palestin melihat serpihan-serpihan bertaburan dekat bangunan al-Sharouk yang menempatkan ibu pejabat stesen TV, al-Aqsa selepas diserang Tentera Udara Israel di Genting Gaza baru-baru ini. - AFP
Penduduk Palestin melihat serpihan-serpihan bertaburan dekat bangunan al-Sharouk yang menempatkan ibu pejabat stesen TV, al-Aqsa selepas diserang Tentera Udara Israel di Genting Gaza baru-baru ini. - AFP

Pertempuran terbaharu yang berlaku antara tentera rejim Zionis dengan kumpulan-kumpulan pejuang Palestin itu pada mulanya disebabkan oleh tindakan sebuah mahkamah daerah Israel pada awal tahun lalu yang mengarahkan pengusiran beberapa keluarga Palestin dari rumah-rumah mereka di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.

Artikel Berkaitan:

Baitulmaqdis Timur diduduki oleh Israel setelah Perang Enam Hari tercetus pada 1967.

Israel juga menduduki Genting Gaza, Tebing Barat, Semenanjung Sinai dan Bukit Golan selepas peperangan itu berakhir.

Tindakan pengusiran itu juga mencetuskan protes ganas hingga menyebabkan ratusan penduduk Palestin cedera akibat ditembak dengan peluru getah, dibaling dengan bom tangan gegaran, terkena gas pemedih mata oleh polis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa pada minggu terakhir Ramadan.

Penduduk Palestin sudah lama menderita kerana diusir dari tanah air sendiri sejak awal abad ke-20 lagi.

Pada awal abad ke-20, sebahagian penduduk Palestin di Baitulmaqdis Timur pernah tinggal di Baitulmaqdis Barat yang kini dikuasai oleh Israel.

Namun, mereka berpindah dari Baitulmaqdis Barat ke Baitulmaqdis Timur selepas negara haram Israel diisytiharkan sendiri oleh rejim Zionis pada tahun 1948 sebaik British berundur dari Palestin selepas mentadbirnya buat sementara waktu.

Pada tahun 1918, British memperoleh mandat dari Liga Negara-Negara yang kini dibubarkan dan digantikan dengan PBB untuk mentadbir Palestin selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah semasa Perang Dunia Pertama.

Tentera Udara Israel melancarkan ratusan serangan yang memusnahkan banyak struktur termasuk kediaman penduduk di Gaza sejak Isnin lalu. - AFP
Tentera Udara Israel melancarkan ratusan serangan yang memusnahkan banyak struktur termasuk kediaman penduduk di Gaza sejak Isnin lalu. - AFP

Justeru, British berundur dari Palestin pada Mei 1948 selepas setahun Pelan Pemetaan Palestin yang dicadangkan oleh PBB pada tahun 1947 iaitu Palestin dipecahkan kepada dua negara iaitu satu untuk Yahudi dan satu lagi untuk penduduk Arab manakala Baitulmaqdis akan dijadikan wilayah antarabangsa dengan status khas.

Ketika British berundur dari Palestin, rejim Zionis dilaporkan bersedia untuk melaksanakan Pelan Pemetaan itu tetapi sehingga kini ia hanya tinggal janji sahaja.

Justeru, sebelum kewujudan negara haram Israel yang diiktiraf PBB dan lebih 100 buah negara termasuk Amerika Syarikat (AS) serta Britain, ia sebenarnya milik penduduk Palestin.

Apabila negara haram Israel diwujudkan pada tahun 1948, kira-kira 850,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan rumah masing-masing manakala beberapa bandar dan kampung Palestin dimusnahkan.

Proses itu diteruskan dengan pembinaan penempatan haram Yahudi, rampasan tanah dan penindasan secara bersistematik dilakukan oleh rejim Zionis sehingga kini.

Malah AS yang sebelum ini sering memperjuangkan hak asasi manusia juga hanya mengeluarkan kenyataan menyebelahi Israel apabila Presiden Joe Biden berkata, Israel kononnya berhak mempertahankan keselamatan negara haram itu.

Persoalannya kini, adakah penduduk Palestin tidak mempunyai hak sama untuk memperjuangkan kebebasan mereka daripada kekejaman dan penindasan Israel yang berterusan selama beberapa dekad?