X

Kindly register in order to view this article
!

Penolong jurutera sambung legasi bapa hasilkan kompang

Mokhtar menunjukkan sebahagian kompang tempahan pelanggan yang berjaya dihasilkannya. - Foto Bernama
A
A

BATU PAHAT - Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Begitulah yang boleh digambarkan terhadap seorang penolong jurutera Mokhtar A Hamid yang kembali aktif menghasilkan kompang dan jidur demi menyambung legasi arwah bapanya.

Mokhtar, 44, mengambil masa kira-kira enam tahun selepas pemergian Allahyarham bapanya, A Hamid Hitam pada tahun 2009, untuk membuka perusahaan kecil-kecilan membuat alat muzik tradisional itu pada tahun 2015 di Parit Sumarto, Parit Raja di sini.

Allahyarham bapanya berkecimpung lebih 44 tahun dalam pembuatan kompang di sebuah bengkel di Kampung Tonjos, Pekan Jabi di Segamat yang kini diusahakan abang sulung Mokhtar.

Mokhtar boleh berbangga dengan usahanya apabila kompang yang dihasilkan bukan sahaja dipasarkan ke seluruh negara, malah turut menerima tempahan dari negara jiran termasuk Singapura dan Indonesia.

“Selepas selesai tugas saya di sebuah universiti di sini, saya akan ke bengkel untuk membuat kira-kira 15 kompang sehari dengan bantuan tiga pekerja yang saya latih sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, proses pembuatan kompang mempunyai hubung kait dengan bidang kejuruteraan antaranya mereka bentuk dan penggunaan teknologi seperti mesin pelarik yang diguna untuk menghasilkan balo atau bingkai kompang serta alat pengukur bunyi.

“Dalam proses pembuatan kompang ini, kenyaringan bunyi perlu diukur supaya bunyi paluan kompang yang dihasilkan tidak sumbang sebaliknya lebih merdu, harmoni dan sedap didengar,” katanya.

Mokhtar (kiri) menunjukkan proses pemasangan kulit kambing yang menjadi bahan utama dalam pembuatan kompang. - Foto Bernama
Mokhtar (kiri) menunjukkan proses pemasangan kulit kambing yang menjadi bahan utama dalam pembuatan kompang. - Foto Bernama

Berkongsi cara pembuatan kompang, Mokhtar berkata, kayu berkualiti dari jenis halban atau nama saintifiknya Vitex Pubescens dipotong bulat dan dilarik menggunakan mesin untuk menghasilkan balo kompang, manakala kulit kambing dikikir serta dijemur selama tiga hingga empat jam sebelum dipakukan pada balo kompang yang telah siap dibentuk.

Beliau berkata, kompang dihasilkan bersaiz antara enam hingga 14 inci yang dijual dengan harga dari RM15 hingga RM85.

Mokhtar yang berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang itu berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lepas juga memberi ruang kepadanya menghasilkan produk baharu iaitu cenderamata berbentuk kompang.

"Selepas pengumuman PKP, pengoperasian pembuatan kompang saya turut terhenti dalam tempoh kira-kira sebulan setengah, namun pada tempoh tersebut kita berpeluang mencari idea baharu dan tercetuslah ilham untuk menghasilkan kompang bersaiz enam dan tujuh inci. Syukur ramai pelanggan mahukannya," tambahnya.

Menurutnya minat membuat kompang kini mengalir dalam tubuh anaknya, Muhammad Haziq Hazlami, 18, yang sentiasa membantu menyiapkan tempahan kompang terutamanya selepas pulang dari sekolah, selain menyertai kelab kompang dan mewakili sekolah dan negeri ke pertandingan kompang.

"Walaupun saya bercita-cita ingin menjadi jurutera seperti ayah, saya tetap mahu meneruskan pembuatan kompang warisan ayah dan datuk saya ini kerana ia merupakan khazanah negara," kata anak kedua daripada empat beradik itu. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!