Wujudkan gabungan baharu segera ganti PSM: Gastak

Zuraidin Abdullah
Zuraidin Abdullah
A
A
A

SEBUAH gabungan baharu perlu segera dibentuk bagi menggantikan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selari dengan penggantungan yang dikenakan ke atas Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail oleh Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada 5 Mei lalu.

Cadangan itu dilontarkan oleh Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.

Presiden Gastak, Zuraidin Abdullah berkata, langkah itu penting dalam usaha melonjakkan semula sukan berkenaan di negara ini.

“Gastak tidak mahu lagi badan induk sepak takraw negara tercalar dengan pelbagai isu selepas ini. Kita percaya selama 18 tahun lalu PSM telah gagal untuk melaksanakan pembaharuan,” katanya.

Menurutnya, Gastak mahu membentuk lapisan pemimpin, barisan pengurusan baharu, berwibawa dan ikhlas dalam mengembalikan semula imej takraw negara ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, kerjasama melibatkan pelbagai pihak itu perlu mempunyai hala tuju, visi dan misi yang jelas dalam memulihkan semula imej sukan takraw di negara ini.

Zuraidin berkata, kewujudan entiti baru itu telah mendapat restu daripada tiga persatuan yang telah mengikut jejak langkah Gastak.

Katanya, satu pelan jangka panjang telah disediakan dalam memastikan hala tuju sukan sepak takraw.

Artikel Berkaitan:

“Ia melibatkan tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang. Komitmen Gastak dan rakan-rakan bukanlah satu cakap kosong, kami telah berbincang secara terperinci dan ia bukanlah satu perkara yang mustahil,” katanya.

Zuraidin berkata, segala langkah itu dilakukan dengan ikhlas tanpa sebarang kepentingan peribadi.

Katanya, Gastak dan tiga lagi persatuan telah menyatakan komitmen untuk berusaha dengan gigih untuk mencapai matlamat ini.

“Gastak dan rakan-rakan lain akan berusaha untuk mendapatkan penaja bagi membiayai kos pelaksanaan program selain daripada bantuan yang kita harap dapat disediakan oleh kerajaan.

“Jika seluruh peminat dapat memberikan sokongan kepada entri baharu itu impian mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan sepak takraw akan terlaksana,” katanya.

Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSTJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) dan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak) sebelum ini mengikut jejak langkah Gastak apabila mengumumkan pengunduran dari PSM.