Penagih dadah paling tinggi di Pahang, Kelantan: AADK

A
A

PASIR PUTEH - Dengan jumlah 17,580 penagih direkodkan antara Januari dan Oktober di Kelantan tahun lepas, ia menjadi negeri kedua selepas Pahang yang memiliki jumlah penagih dadah paling ramai dalam negara.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Kelantan (AADK) Rohayu Ahmad berkata daripada jumlah itu 8,666 diletakkan di bawah kategori Orang Kena Pengawasan (OKP), antaranya termasuk 695 di Pasir Puteh, Kota Bharu (1,608), Bachok (1,272) dan 1,229 lagi di Pasir Mas.

Beliau berkata tahun lepas AADK Kelantan menjalankan saringan air kencing ke atas 4,545 pelajar sekolah menengah dari 167 buah sekolah dan mengesan 249 kes pelajar yang didapati positif dadah; namun menurutnya jumlah itu menyaksikan penurunan berbanding 292 kes pelajar positif dadah yang dikesan dalam saringan sepanjang tahun 2017.

“Apa yang membimbangkan ada juga kalangan mereka yang meminum air ketum, yang dianggap seolah-olah perkara biasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai di sini, hari ini.

Pelbagai acara diadakan sempena majlis itu, antaranya termasuk dikir barat, sukaneka, ikrar anti dadah, penganugerahan tokoh dan pembacaan sajak yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan, Norwahidah Zinalibdin. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia