Liga M3: AFL pantau status terkini PKP 3.0

Antara aksi menarik saingan Liga M3 pada musim 2019.
Antara aksi menarik saingan Liga M3 pada musim 2019.
A
A
A

PENGERUSI Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi akan memantau status terkini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sebelum membuat keputusan mengenai saingan Liga M3 musim ini.

Menurut Mohd Yusoff, perkembangan terkini PKP akan memudahkan pihak AFL untuk menentukan tarikh baharu saingan Liga M3 dengan mengambil kira tempoh persiapan bagi kesemua pasukan yang bertanding kali ini.

“Sepatutnya kita dah mula Liga M3 pada 4 Jun, tetapi pelaksanaan PKP 3.0 mulai 12 Mei hingga 7 Jun dan ini menyebabkan kita terpaksa menunda saingan musim ini.

“Walaupun ada baki tiga hari sebelum 7 Jun, kita juga tidak boleh mula balik sebab pasukan belum training (berlatih).

“Jadi, kita kena tengok bila tarikh sebenar sebab kita tak tahu mungkin sambung lagi, cuma boleh kita katakan kita kena tengok perkembangan terkini PKP itu sendiri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam kenyataan media pada Sabtu, AFL menunda saingan Liga M3 yang dijadualkan berlangsung mulai 4 Jun depan ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak susulan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara ketika ini.

Musim ini 20 kelab akan beraksi pada saingan Liga M3 kali ini yang dibahagikan kepada Kumpulan A dan Kumpulan B.

Sementara itu, Mohd Yusoff tidak menolak kemungkinan saingan Liga M3 kali ini bakal berlangsung secara karnival sekiranya PKP dilanjutkan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya juga akan mengenal pasti lokasi serta jumlah pasukan yang akan bertanding pada saingan yang dijalankan secara karnival itu.

“Kalau tak ada pilihan lain, kita tetap jalankan Liga M3 ini, tetapi secara karnival. Lagipun, kita tak tahu lepas ni PKP sambung balik ke atau macam mana.

“Kalau tak sambung kita kena tengok pula berapa hari kita boleh berikan kepada pasukan untuk buat persiapan.

“Oleh itu, apa pun keputusan kita nanti kita tetap kena tengok dulu perkembangan terkini PKP,” katanya.