Pandemik Covid-19 pada 2021 lebih dahsyat: WHO

Dr Tedros
Dr Tedros
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa impak tahun kedua pandemik Covid-19 dijangka akan lebih dahsyat.

Amaran itu diberikan WHO pada Jumaat ketika beberapa negara kini berdepan gelombang jangkitan baharu yang luar biasa hingga memaksa langkah sekatan lebih ketat dilaksanakan untuk membendung penularan wabak tersebut.

“Tindakan menyelamatkan nyawa dengan pelaksanaan langkah kesihatan awam dan vaksinasi adalah satu-satunya cara untuk menangani ancaman pandemik tersebut,” ujar ketua agensi antarabangsa itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus.

WHO juga menggesa negara kaya supaya tidak memberi suntikan imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja yang merupakan golongan paling berisiko rendah.

Dr Tedros menyarankan bekalan vaksin berlebihan wajar disalurkan kepada negara miskin yang masih bergelut untuk mencegah penyebaran wabak tersebut.

“Negara kaya sewajarnya mendermakan dos vaksin tersebut kepada skim COVAX bagi memastikan mereka yang sangat memerlukan di negara terbabit juga mendapat perlindungan sepatutnya.

“Hal ini kerana negara berpendapatan rendah dan sederhana masih berdepan isu kekurangan bekalan vaksin Covid-19. Isu tersebut menyebabkan petugas barisan hadapan masih gagal mendapatkan suntikan vaksin,” tegasnya.

Selain itu, WHO juga berpendapat individu sudah mendapat vaksin penuh perlu memakai pelitup muka selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) memberi kelonggaran kepada golongan itu apabila berada di tempat awam hingga mencetuskan kebimbangan ramai.

Artikel Berkaitan:

“Vaksinasi bukan satu jaminan anda tidak akan terkena jangkitan atau tidak lagi boleh menyebarkan wabak itu kepada individu lain,” kata ketua saintis agensi di bawah PBB itu, Soumya Swaminathan. - AFP

INFO

- Hampir 1.4 bilion dos vaksin Covid-19 telah diberikan di kira-kira 210 negara di seluruh dunia.

- Kira-kira 44 peratus dos vaksin diberikan di negara berpendapatan tinggi yang meliputi 16 peratus daripada populasi global.

- Hanya 0.3 peratus dos vaksin diberikan di 29 negara berpendapatan rendah yang meliputi sembilan peratus daripada populasi global.