147 bekas pemain dapat geran bantuan FIFA FFP

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

SERAMAI 147 bekas pemain dari lima kelab yang sudah tidak beroperasi di negara ini diluluskan permohonan untuk menerima geran bantuan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Tabung FIFA Untuk Pemain Bola Sepak (FIFA FFP).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, bekas pemain tersebut akan menerima antara AS$1,227.67 (RM5,000) hingga AS$9,227.67 (RM38,000) setiap seorang menerusi tabung yang diwujudkan menerusi kerjasama FIFA dan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

Menurut Stuart, tabung yang diwujudkan pada tahun 2020 tersebut menerima lebih 1,000 permohonan pemain seluruh dunia membabitkan 109 kelab dari 36 negara anggota FIFA.

“Permohonan dari Malaysia diluluskan melibatkan 147 permohonan iaitu bagi fasa pertama membabitkan tunggakan gaji dari Julai 2015 hingga Jun 2020.

“Permohonan bagi pemain dari Malaysia itu dibuat menerusi Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan kerjasama Unit Undang-undang FAM yang menyerahkan keputusan kes tunggakan gaji daripada Jawatankuasa Status FAM dan termasuk juga kes diputuskan oleh FIFA.

“FAM turut memberikan pengesahan status pasukan atau kelab terbabit yang telah ditutup secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Stuart lagi, menerusi dana FIFA FFP ini, jumlah keseluruhan wang yang bakal diterima oleh 147 pemain dari Malaysia ini ialah AS$456,214.48 (RM1.88 juta) iaitu 2.85 peratus daripada jumlah keseluruhan dana AS$16 juta (RM66 juta) bagi empat fasa sehingga penghujung 2022.

“FAM berterima kasih kepada FIFA dan FIFPro kerana menerusi wang dana yang diberikan ini, ia telah membantu pemain yang terkesan dengan tunggakan gaji yang gagal diselesaikan kelab yang telah ditutup.

Artikel Berkaitan:

“Tahniah juga kepada PFAM yang telah memainkan peranan utama dalam merealisasikan agenda ini bagi membolehkan pemain-pemain akhirnya akan dapat menerima sebahagian wang tunggakan tersebut,” katanya.

Dalam masa sama tegas Stuart, penerimaan dana ini bukan bermaksud kes ini sudah selesai sepenuhnya memandangkan dana yang diterima hanyalah sebahagian dan masih terdapat baki tunggakan yang perlu diselesaikan.

Sehubungan itu tambahnya, FAM menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk tampil dan menyelesaikan baki tunggakan tersebut.

“Pada ketika ini, pihak PFAM sedang mengemas kini fakta kelulusan daripada FIFA dan FIFPro dan akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

“FIFA akan mengkreditkan wang dana berkenaan ke akaun para pemain yang terlibat ini dalam kadar yang segera sebaik menerima maklumat akaun bank pemain,” katanya.