10,000 penduduk Palestin hilang tempat tinggal

Penduduk Palestin memeriksa kesan kemusnahan akibat serangan udara di Bandar Gaza pada Sabtu. - Foto: AFP
Penduduk Palestin memeriksa kesan kemusnahan akibat serangan udara di Bandar Gaza pada Sabtu. - Foto: AFP
A
A
A

NEW YORK - Kira-kira 10,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal setelah rejim Zionis meningkatkan kempen serangan ke atas Genting Gaza sejak Isnin lalu.

"Mereka terpaksa berlindung di sekolah, masjid dan pusat pelindungan sementara lain ketika ancaman pandemik Covid-19 masih tinggi.

"Kemudahan terbabit bagaimanapun mempunyai akses kepada bekalan air bersih, makanan, perkhidmatan kesihatan dan kebersihan," kata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, hospital dan perkhidmatan kebersihan yang bergantung kepada sumber bahan api juga dijangka hanya dapat bertahan sehingga Ahad.

OCHA menegaskan pihak bertelagah terbabit bagaimanapun perlu membenarkan PBB dan agensi kemanusiaan menyalurkan bekalan bahan api, makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk yang terjejas akibat konflik terbaharu Israel-Palestin tersebut.

"Semua pihak perlu sentiasa mematuhi undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa," kata kenyataan itu lagi.

OCHA turut mengulangi gesaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menggesa pihak terlibat konflik itu supaya meredakan ketegangan bagi mengelakkan lebih ramai penduduk Palestin tidak berdosa terkorban.

Sementara itu, Setiausaha Amerika Syarikat (AS) untuk Hal Ehwal Israel-Palestin, Hady Amr dijadualkan bertemu pemimpin Israel dan Palestin.

Artikel Berkaitan:

Pertemuan itu dirancang selepas Washington berdepan kritikan banyak pihak kerana berpihak kepada rejim Tel Aviv serta menggunakan kuasa veto mereka untuk membatalkan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat.

Sehingga Sabtu, angka korban di Genting Gaza telah mencecah sekurang-kurangnya 139 orang termasuk 39 kanak-kanak manakala kira-kira 950 yang lain dilaporkan cedera.

Di Tebing Barat, sekurang-kurangnya 11 penduduk Palestin cedera selepas konflik Israel-Palestin kini merebak ke wilayah itu.

Ketika ini, terdapat kebimbangan krisis itu akan menjadi bertambah buruk ketika sambutan Hari Nakba (Hari Malapetaka) pada Sabtu untuk memperingati penubuhan negara haram Israel yang membawa kepada pengusiran ratusan ribu penduduk Palestin pada tahun 1948.

Pada awal pagi Sabtu, seramai 10 ahli sebuah keluarga termasuk lapan kanak-kanak dan dua wanita menjadi korban terbaharu serangan udara dilancarkan rejim Zionis ke atas bangunan setinggi tiga tingkat di kem pelarian Shati di barat Genting Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, Mesir turut membuka lintasan sempadan di Rafah yang menghubungkan Genting Gaza bagi membenarkan kira-kira 10 ambulans membawa penduduk Palestin yang cedera parah untuk mendapatkan rawatan di hospital di Kaherah. - Agensi