Proses vaksinasi di PPV WTCKL lancar

Penerima vaksin mula beratur menunggu giliran seawal jam 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menerima suntikan vaksin jenis AstraZeneca hari ini. -Foto Bernama
Penerima vaksin mula beratur menunggu giliran seawal jam 9 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bagi menerima suntikan vaksin jenis AstraZeneca hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses pemberian vaksin AstraZeneca di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) berjalan lancar walaupun kapasiti vaksinasi di PPV itu dipertingkat kepada 8,100 dos sehari mulai Sabtu.

Tinjauan Bernama ke PPV berskala paling besar di Malaysia setakat ini itu mendapati segala proses vaksinasi adalah teratur dengan laluan ekspres disediakan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) Dr Anas Alam Faizli berkata, kesesakan yang berlaku di pintu masuk bangunan itu dipercayai berpunca daripada sikap penerima vaksin tidak mematuhi masa ditetapkan dalam janji temu masing-masing.

"Hanya perlu ikut janji temu (yang tertera dalam) MySejahtera. Dalam tu ada nombor stesen di WTCKL iaitu stesen satu, dua atau tiga.

“Daripada situ mereka tahu barisan mana nak beratur. Yang kelam-kabut itu mungkin mereka yang datang bukan pada waktunya," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, antara perkara yang ditambah baik berbanding sebelum ini pula ialah apabila Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sistem pengurusan barisan iaitu penerima akan diberi angka giliran dan digunakan sehingga selesai pemberian vaksin.

Dr Anas Alam berkata setakat ini, hampir 30,000 dos vaksin AstraZeneca digunakan di semua PPV berkenaan dengan tiga lagi PPV di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC).

Sementara itu, seorang jurutera di sebuah syarikat swasta Ahmad Faiz Mat Nor, 33, berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan setakat ini selepas disuntik vaksin berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Antara sebab beliau nekad mengambil vaksin itu ialah kerana bimbang menjangkiti dua anaknya yang berusia dua dan empat tahun.

"Saya bekerja asyik jumpa orang maka saya berisiko untuk dijangkiti. Apabila ada peluang untuk mendapatkan vaksin, saya terus ambil," katanya sambil menambah bahawa ibu bapanya yang berada di Kota Bharu, Kelantan juga sudah divaksinasi.

Seorang suri rumah Jenny Blalih anak Yalak, 65, pula berkata beliau dan suaminya, William Timmins, 68, berasa gementar sebelum divaksinasi kerana takut dengan jarum suntikan namun kesemuanya berlaku dengan pantas malah doktor yang bertanggungjawab juga memudahkan urusan mereka.

Bagi seorang petugas perakaunan di sebuah syarikat swasta Cheah Ai Juan, 31, beliau ingin divaksinasi secepat mungkin kerana bekerja dan menetap di kawasan zon merah Covid-19.

Semalam, Bernama melaporkan selain WTCKL, kapasiti PPV di UM dan UKM bagi vaksin sama turut dinaikkan daripada 900 kepada 1,300 dos sehari sementara IDCC, yang dijadualkan mula beroperasi 24 Mei ini, mempunyai kapasiti vaksinasi 3,000 dos sehari. - Bernama