PKPD di dua lokaliti Pahang, satu di Sabah

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti, masing-masing melibatkan dua kawasan di Pahang dan satu di Sabah bermula Isnin hingga 30 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua lokaliti di Pahang melibatkan Kampung Paya Teh, Jerantut dan Seri Kemunting, Kuantan manakala di Sabah melibatkan Kampung Sungai Langgas, Kunak.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan memudahkan KKM menjalan pengesanan awal kes Covid-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin serta menyekat penularan jangkitan ke kawasan luar,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di dua rumah panjang iaitu Rumah Panjang Jali Anak Empaling dan Lanyau Anak Tuli, Bukit Dinding-Bergerik, Mukah, Sarawak bermula Isnin sehingga 23 Mei ini.

“Sehingga kini, KKM telah melakukan 150 ujian saringan di kedua-dua rumah panjang tersebut dan 81 disahkan positif Covid-19.

“KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku di lokaliti tersebut dan kes baharu juga masih direkodkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD di Apartment Meranti, Midhill Apartment, Ramin dan Vista Residence, Bentong, Pahang pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Penamatan PKPD juga melibatkan Rumah Panjang Luni, Manna, Nelson Chuat di Mukah, Sarawak," katanya.

Tambahnya, PKPD turut ditamatkan di lima rumah panjang iaitu Rumah Panjang Belayong, Rumah Panjang Muda, Rumah Panjang Tepi, Rumah Panjang Minggu dan Rumah Panjang Undom di Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak pada Ahad, lebih awal daripada yang dijadualkan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, seramai 551 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Jumaat.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 519 individu dikompaun manakala 32 lagi direman.