Sila log masuk terlebih dahulu.

Kluster Jalan Katz, tiga pusat jagaan orang tua ditutup

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga pusat jagaan orang tua di sini, diarah tutup bermula semalam selepas sebuah daripadanya terdapat kes Covid-19 membabitkan pekerja serta penghuni di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata berdasarkan maklumat diterima beliau, terdapat jangkitan Covid-19 di rumah orang tua di Jalan Katz selepas seorang pekerja di situ positif penyakit itu.

"Tiga pusat jagaan orang tua iaitu di Jalan Katz, Jalan Seang Tek dan Lebuh Cecil itu di bawah syarikat serta pengurusan yang sama malah pekerjanya juga bertugas di tiga pusat tersebut secara syif.

"Berikutan terdapat kes Covid-19 di pusat jagaan di Jalan Katz itu, dua lagi (pusat jagaan) turut diarah tutup dan semua pekerja serta penghuni diarah jalani ujian saringan dan dikuarantin," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Bagaimanapun tiada maklumat lengkap diperoleh berhubung jumlah penghuni dan pekerja di tiga pusat jagaan orang tua itu kerana ketiga-tiganya tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bernama difahamkan tiga pusat jagaan itu menempatkan lebih 200 penghuni dan pekerja dengan tiada pergerakan masuk atau keluar ke situ.

Phee berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua pusat jagaan supaya tidak menerima sebarang lawatan atau kunjungan daripada pihak luar dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Asmayani Khalib berkata sehingga semalam, seramai 70 pekerja dan penghuni di pusat jagaan di Jalan Katz menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 36 daripadanya positif.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan diteruskan bagi memastikan semua pekerja dan penghuni tiga pusat jagaan itu menjalaninya. Kementerian Kesihatan (KKM) telah isytiharkan sebagai Kluster Lebuh Katz di situ, keadaan ketika ini terkawal dan mereka yang positif telah diberikan rawatan," katanya. - Bernama